SEJAK semalam, media maya dan orang ramai dikejutkan dengan penyebaran video seks songsang yang dikatakan mirip seorang menteri.

Ekoran itu, ia mendapat reaksi daripada pelbagai pihak terutamanya pimpinan pembangkang.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam kenyataan medianya hari ini mahu pimpinan dan ahli PAS tidak terlibat dalam penyebaran video tersebut.

“Sebagai seorang Muslim sikap kita tetap konsisten dengan apa yang syarak pandu, agar tidak membuat tuduhan (qazaf) melainkan kita melihatnya.

“Sehubungan dengan pengakuan individu tertentu yang membuat pengakuan, maka PAS menggesa Mahkamah Syariah Sabah perlu menghukum individu tersebut atas pengakuan beliau,” kata Tuan Ibrahim.

Katanya, di saat pelbagai kemelut ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat, PAS perlu tampil menjadi agen yang membantu bukan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang tidak bermanfaat.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tidak memberi apa-apa komen, cuma memuatkan klip penyanyi Michael Jackson yang sedang memakan bertih jagung dan emoji yang sedang tersengih.

Mungkin juga Ahli Parlimen Pekan itu mahu menggambarkan bahawa cerita atau wayang baru bermula dan bersiap-sedia melihat adegan yang seterusnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin turut menggesa masyarakat tidak memberi perhatian kepada isu ini.

“Politik ialah profesion yang sukar. Ada kala ia kotor. Ada kala ia sangat kotor. Hari ini ia busuk sebusuknya (Today it stinks to the high heaven).”

“Jika anda terlihat berita buruk berkenaan politik kita hari ini, alihkan pandangan. Hal seperti ini semakin marak apabila diberi perhatian,” katanya menerusi Instagram hari ini.

Timbalan Pengerusi III Lajnah Penerangan PAS Pusat, Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir menyifat isu video ini sebagai politik longkang dan sampah yang paling jijik dan hina diamalkan mereka sejak dulu.

“Tiada keutamaan bagi mereka selain kuasa dan kuasa. Untuk capai takhta tertinggi apa sahaja jadi hatta bogel membogel,” kata Roslan dalam facebook miliknya.

Roslan menggesa agar rakyat bersatu dan bermuafakat mendukung kesatuan ummah bertunjangkan agama, seterusnya membina kembali negara dengan menyisihkan mereka yang kotor dan bermasalah. – NTHQiBord 12 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.