PENGUMUMAN Peguam Syazlin Mansor semalam bahawa beliau akan terus mewakili keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim dalam prosiding inkues kematian melegakan pihak bekenaan.

Perkembangan ini turut mendapat perhatian Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Pada masa yang Tun Hamid mendedahkan kesilapan Peguam Negara Tommy Thomas dalam mengendalikan isu kedudukan Syazlin dan inkues.

Yang berikut sebahagian tulisan Tun Abdul Hamid menjelaskan kekeliruan Tommy Thomas.

Peguam swasta mestilah dilantik oleh Peguam Negara atau Pendakwa Raya

Tommy memberi alasan bahawa Kementerian dan Jabatan Bomba, sebagai kementerian dan jabatan kerajaan yang lain, hendaklah mendapatkan nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam swasta mestilah dilantik oleh Peguam Negara atau Pendakwa Raya.

Pada 2 Jun 2019, Majlis Peguam mengeluarkan kenyataan bahawa ia bersetuju terdapat percanggahan kepentingan jika Syazlin mewakili Kementerian, Jabatan Bomba dan keluarga Adib, tetapi ralat kerana bantahan dibuat lewat oleh Pendakwa Raya / Peguam Negara.

Jika terdapat percanggahan kepentingan, mengapa Majlis Peguam tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap Syazlin? Mengapa berdiam diri sekian lama dan cuma bersuara untuk menyokong Pendakwa Raya / Peguam Negara setelah beliau membangkitkan isu itu?

Alasan Tommy bahawa Syazlin ada konflik berkepentingan

Alasan yang digunakan oleh Tommy bahawa Syazlin berada di dalam pendirian konflik kepentingan apabila beliau bersetuju untuk mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba kerana beliau juga turut mewakili keluarga Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues ini.

Bagi Tun Hamid itu masalah peguam tersebut, bukan masalah Pendakwa Raya / Peguam Negara.

Isunya ialah seorang peguam (dalam perbincangan ini, Syazlin) tidak sepatutnya mewakili sesuatu pihak jika beliau (Syazlin) khuatir akan berlaku percanggahan kepentingan. Isunya bukanlah sama ada Pendakwa Raya / Peguam Negara fikir Syazlin akan menghadapi percanggahan kepentingan jika Syazlin mewakili ketiga-tiga pihak itu.

Yang lebih tahu sama ada terdapat percanggahan kepentingan di antara Kementerian dan Jabatan Bomba di satu pihak dan Adib di pihak yang lain, jika ada, ialah Syazlin.

Dalam inkues kematian Adib, sepanjang inkues itu berjalan, Kementerian, Jabatan Bomba dan keluarga Adib sekata, termasuk mengenai keterangan pakar forensik yang dibawa oleh Syazlin.

Yang tidak suka kepada keterangan Prof. Dr. Shahrom itu adalah Tommy Thomas (Pendakwa Raya). Adakah itu menjadikannya percanggahan kepentingan kepada Syazlin?

Percanggahan kepentingan itu adalah alasan yang diberi, pada tempat yang salah, untuk mengeluarkan Syazlin daripada mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba, kerana Syazlin telah membawa masuk keterangan Prof. Dr. Shahrom.

Saya ingin bertanya kepada Kementerian dan Jabatan Bomba: Adakah kedua-duanya akan melepaskan tanggungjawabnya terhadap pegawainya yang mati semasa bertugas?

Akibat pendirian Pendakwa Raya / Peguam Negara dalam inkues ini, bagaimanakah pendirian beliau dalam contoh berikut? Dalam permohonan habeas corpus, pemohon akan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. Adakah di masa hadapan, Jabatan Peguam Negara hanya akan mewakili Kerajaan Malaysia dan membiar Menteri Dalam Negeri mendapatkan peguamnya sendiri?

Sebab sebenar Tommy melenting

Ini adalah sebab sebenar mengapa Tommy Thomas tiba-tiba melenting, iaitu setelah beliau diberitahu oleh pegawainya-pegawainya (Timbalan Pendakwa Raya) bahawa Syazlin telah mengambil peranan yang aktif di dalam inkues itu, malah sering mengambil pendirian yang bercanggah daripada pendirian yang diambil oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Di sini jelas kesilapan Tommy Thomas:
i. Beliau tidak boleh terima tindakan Syazlin membawa masuk Prof. Dr. Shahrom yang memberi keterangan yang bercanggah dengan keterangan Dr. Ahmad Hafizam. Ertinya, beliau telah mengambil pendirian menerima keterangan Dr. Ahmad Hafizam dan menolak keterangan Prof. Dr. Shahrom, sekaligus melepaskan perusuh-perusuh itu daripada sebarang liabiliti.

Ini adalah satu inkues untuk mencari sebab kematian Adib, bukan satu kes jenayah di mana Pendakwa Raya menjalankan pendakwaan. Biar apa pun pandangan peribadi Tommy Thomas, sebagai Pendakwa Raya, beliau tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak.

ii. Beliau mengambil pendirian bahawa Pendakwa Raya mewakili Kerajaan Malaysia dalam inkues itu. Maka, peguam Kementerian dan Jabatan Bomba hendaklah mengambil pendirian yang sama dengan pendirian Pendakwa Raya dan Kerajaan Malaysia. Itu salah.

Kehadiran Pendakwa Raya dalam inkues itu bukan untuk mewakili Kerajaan Malaysia dan keterangan yang dibawa masuk oleh peguam Kementerian dan Jabatan Bomba tidak semestinya sama dengan apa yang dibawa masuk oleh Pendakwa Raya. Kedua-duanya membantu mahkamah mencari sebab kematian Adib, bukan untuk menang kes.

Saya akui, dalam pendakwaan (prosecution) pendirian Kementerian adalah tertakluk kepada pendirian Pendakwa Raya. Misalnya, Kementerian berpendapat seorang atau beberapa orang hendaklah didakwa (should be prosecuted) berdasarkan keterangan Prof Dr. Shahrom tetapi Pendakwa Raya tidak bersetuju. Pendakwa Raya bersetuju dengan teori Dr. Ahmad Hafizam. Dalam hal itu Kementerian tertakluk dengan pendirian Pendakwa Raya.

Kita bukan sampai ke peringkat itu lagi. Kita berada di peringkat inkues untuk membantu Koroner mencari sebab kematian Adib. Pendakwa Raya tidak boleh memaksa Kementerian menerima pendiriannya mengenai sesuatu keterangan. Beliau tidak boleh mengarahkan Kementerian menarik balik pelantikan peguam yang dilantik oleh Kementerian kerana peguam itu membawa masuk keterangan yang bercanggah dengan keterangan yang dibawa masuk oleh Timbalan Pendakwa Raya. Itu beliau perlu faham.

Dalam inkues itu Syazlin dan Pendakwa Raya sama-sama membantu mahkamah mencari sebab kematian Adib, bukan mewakili pihak yang berlainan dalam satu perbicaraan.

Alasan suami Syazlin bekerja sebagai setiausaha menteri

Oleh sebab suami Syazlin adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tidak bererti Syazlin tidak boleh dilantik mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba, apatah lagi Syazlin memberi perkhidmatan percuma. Di manakah penyalahgunaan kuasa atau kronisme?

Kesimpulannya, kesilapan Tommy Thomas dalam hal ini ialah beliau fikir Pendakwa Raya mewakili Kerajaan Malaysia dalam inkues itu. Oleh itu Kementerian dan Jabatan Kerajaan mestilah mengikuti pendiriannya mengenai sesuatu keterangan; Kementerian dan Jabatan Bomba mesti diwakili oleh pegawai Pendakwa Raya yang semestinya akan mengikut telunjuknya; keluarga Adib tidak boleh diwakili oleh Jabatan Peguam Negara kerana mereka mempunyai “kepentingan terus” (“direct interest”).

Maka Kementerian dan Jabatan Bomba pun terpaksalah melepaskan tanggungjawabnya terhadap bekas pegawainya yang mati semasa bertugas untuk melihat bahawa keadilan berlaku kepadanya. Keluarganya dianggap seperti musuh yang mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian dan Jabatan Bomba.

Kita bukan meminta Pendakwa Raya / Peguam Negara memihak kepada Adib kerana beliau seorang pegawai kerajaan.

Kita hanya meminta beliau supaya:
1.Memahami peranan Pendakwa Raya dalam inkues itu;
2.Jangan menyebelahi mana-mana pihak;
3.Kemukakan keterangan yang ada padanya;
4.Jangan cuba menghalang keterangan yang bercanggah dengannya;
5.Berilah kebenaran kepada Kementerian untuk melantik Syazlin atau mana-mana peguam lain untuk mewakili Kementerian, Jabatan Bomba, dan keluarga Adib;
6.Dalam inkues, jangan mengambil pendirian menerima sesuatu keterangan dan menolak yang lainnya dan menghendaki Kementerian dan Jabatan Bomba mengambil pendirian yang sama.
7.Jangan singkirkan Adib; dan
8.Biarlah Koroner memperoleh semua keterangan yang berkenaan untuk membolehkannya membuat keputusan yang betul dan adil. – 13 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.