KETUA Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil tidak pernah memberitahu lembaga pengarah bahawa pinjaman pertama RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dimasukkan ke akaun kedua syarikat tersebut.

Lebih menghairankan lagi, bekas pengarah dan pengerusi SRC International, Tan Sri Ismee Ismail mendedahkan bahawa lembaga pengarah tidak pernah tahu bahawa syarikat itu mempunyai akaun kedua di AmBank.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak mengetahui tentang kewujudan akaun kedua tersebut.

Saksi ke-39 kes penyelewangan SRC International itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa akaun kedua itu yang berakhir dengan nombor 736, didaftarkan bawah nama Nik Faisal, pengarah SRC syarikat itu, Datuk Suboh Md Yassin dan seorang lagi individu yang tidak diberikan namanya.

Ismee memdedahkan kepada mahkamah tentang cara Nik Faisal memanipulasi untuk menyembunyikan beberapa maklumat penting daripada lembaga pengarah.

Beiau berkata lembaga pengarah tidak pernah tahu bahawa RM2 bilion, iaitu bayaran pinjaman pertama daripada RM4 bilion dari KWAP, didepositkan ke akaun 736 dan dikeluarkan pada hari yang sama pada 29 Ogos 2011.

Ismee berkata Nik Faisal tidak pernah memberitahu tentang maklumat transaksi itu pada mesyuarat lembaga pengarah pada 12 September 2011.

SRC International ditubuhkan secara rasmi pada 7 Januari 2011 sebagai anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nik Faisal dilantik sebagai pengarah dan CEO SRC International pada 2 Ogos 2011 oleh lembaga pengarah 1MDB.

Kerajaan kemudiaanya memberikan geran RM20 juta kepada SRC International sebagai modal permulaan dan wang itu turut dimasukkan ke akaun 736.

Ismee memberitahu bahawa Nik Faisal mengeluarkan wang geran itu berjumlah RM15 juta pada tahun yang sama dan lembaga pengarah langsung tidak dimaklumkan tentang perkara itu.

Semalam Ismee berkata lembaga pengarah tidak pernah mendapatkan penjelasan daripada Najib terhadap dakwaan Nik Faisal bahawa beliau sering berhubung dengan bekas perdana menteri itu.

Ismee meletak jawatan sebagai lembaga pengarah SRC International pada 15 Ogos 2014 kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan Nik Faisal.

Antara puncanya, Ismee mendedahkan bahawa Nik Faisal mempunyai kecenderungan untuk menipu, memberi fakta dan angka yang salah, dan memanipulasi akaun serta penyata kewangan syarikat. – NTHQiBord, 13 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.