DAKWAAN Zuraida Kamaruddin yang mengaitkan pembangkang dengan penyebaran video seks songsang individu yang dikatakan sebagai Datuk Seri Azmin Ali adalah tindakan terdesak, kata ketua UMNO bahagian Bandar Tun Razak.

Datuk Rizalman Mokhtar turut menyifatkan kenyataan naib presiden PKR itu bertujuan menutup pelaku yang menyebarkan video tersebut yang dipercayai adalah dalam kalangan ahli parti itu.

Walaupun Haziq Aziz, individu yang mengakui dia adalah lelaki yang berada di dalam video tersebut sebelum ini pernah menjadi pelatih kepada bekas menteri di jabatan perdana menteri, namun menurut Rizalman perkara ini adalah tidak berkaitan.

“Tetapi bila Zuraida tuduh ini agenda pembangkang berdasarkan sejarah lama Haziq yang pernah bekerja dengan Datuk Seri Nancy Shukri saya fikir ini adalah satu taktik lama.

“Apa juga masalah yang berlaku dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mereka akan tabur kesalahan ini kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Maknanya dalam perkara ini (tuduh BN) , yang ini saya fikir sangat bodoh,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord, baru-baru ini.

Menurut bekas setiausaha BN Wilayah itu, rakyat sudah mengetahui punca pembongkaran video itu adalah disebabkan berlakunya pergelutan jawatan dalam dua kem PKR.

Ianya bertujuan menjatuhkan pihak tertentu di dalam parti itu terutama sekali timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, ujarnya.

Katanya lagi, untuk mengelakan perkara ini menjadi salah faham maka Ahli Parlimen Ampang itu sengaja kambing hitamkan BN untuk menutup aib parti sendiri.

“Jadi paling mudah dengan salahkan UMNO dan parti pembangkang walaupun kita tak pernah tahu pun dan tidak mahu terlibat pun dengan perkara ini.

“Tindakan (kenyataan Zuraida) itu yang dirasakan sangat terdesak,” tegasnya.

Tambahnya pihak pembangkang terutama BN tidak mahu ambil tahu sama sekali mengenai perkara itu.

Malah ketika ini BN hanya fokus di dalam berkhidmat kepada rakyat dan memantau pentadbiran kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Kita hari ini hanya mahu memantau pentadbiran kerajaan, cerita-cerita peribadi ini kita tidak minat sebab dari segi pentadbiran kerajaan lebih pnting untuk kita lihat.

“Bukan masalah peribadi, bukan pergeseran berebutkan jawatan dalam parti,” ujarnya.

Sementara itu, pemimpin PAS turut menyelar kenyataan Zuraida ini malah mengatakan bahawa parti itu tidak mahu membuang masa membuka aib individu lain.

Tegas Ustaz Idris Ahmad, pemimpin dah ahli PAS dapat membezakan dosa dan pahala dengan jelas.

Atas alasan itu, tiada keperluan untuk terlibat sama dalam penyebaran video songsang yang dikatakan dilakukan oleh seorang menteri Kabinet.

“Kita dalam PAS tidak pernah hendak jatuhkan orang, sama ada lawan atau dalam kepimpinan PAS.

“Malah ,kita tidak pernah sebarkan benda-benda yang berbentuk fitnah , kerana kita fikir dosa pahala,” katanya.

Naib Presiden PAS itu turut memberi contoh pemilihan PAS yang bakal berlangsung dari pada 21 hingga 23 Jun ini tidak berlaku sebarang kekecohan dalam kalangan calon atau penyokong.

“Sebab itu masa pemilihan PAS ini, kita tenang sahaja, tidak ada apa-apa fitnah yang terjadi walaupun pemilihan berlangsunh pada esok, lusa mahupun minggu hadapan. Tidak ada apa masalah.

“PAS tidak gunakan pendekatan itu,” jelasnya.

Semalam, Zuraida Kamaruddin menegaskan Haziq mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan parti pembangkang.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan beliau turut mempersoalkan latar belakang penuduh yang dikatakan menfitnah kepimpinan tertinggi PKR.

Manakala di sosial media tersebar gambar Haziq bersama Datuk Seri Nancy Shukri, dipercayai gambar tersebut itu diambil pada awal tahun lepas. – NTHQiBord, 13 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.