SEMENJAK dua menjak ini, politik Malaysia begitu bergelora. Habis segalanya cuba dikorek daripada atas kepala hingga ke dalam kain.

Yang terbaharu, Azmin, orang kanan PKR dan orang kanan kabinet jadi mangsa. Beliau ditelanjangkan oleh orang sekapalnya sendiri. Bukan sahaja sekapal, malah sebilik.

Yang sekapal itu termasuklah Bersatu (PBBM), DAP, Amanah dan Warisan.

Yang sebar video ini rakan sebilik, yang mengaku buat songsang rakan sebilik, yang arah henti sebar pun rakan sebilik. Motifnya macam-macam.

Rakan sebilik dan rakan sekapal ada motif yang kuat untuk jatuhkan Azmin. Saya tidak fikir ini kerja UMNO. PAS jauh sekali lah.

PAS awal-awal lagi terus istiqamah dengan prinsipnya dalam melawan fitnah. UMNO generasi baru pasca kekalahan PRU14 pun sudah berubah tidak mahu bersekongkol dengan fitnah. Cuma ada sekerat dua yang terlepas.

Azmin ini disebut-sebut sebagai salah seorang calon PM. Tak pasti lah nombor ke-8 atau keberapa. Yang pasti namanya ada di situ, selain Abang Non yang sudah cop kerusi ke-8.

Sementelah pula, Azmin kini dilihat mula berubah kem. Dari kem Abang Non ke kem Atok Tun M. Ada yang beritahu, zaman muda Azmin, dia anak angkat Atok. Tetapi zaman reformasi dia ikut kem Abang Non.

Kemudian sedikit demi sedikit kumpul kekuatan dalam parti Abang Non. Sampaikan di Selangor sekarang ini kuat pengaruh Azmin. Semua tahu MB sekarang orang kuat Azmin.

Tetapi Azmin perlu ingat juga, dia dapat jadi MB sebab fitnah Saifuddin kepada Tan Sri Khalid Ibrahim dan ihsan PAS mencalonkan namanya kepada sultan.

Yang fitnah Tan Sri orang sama parti dengan Azmin juga. Nasib baik mereka tidak fitnah Tan Sri macam Abang Non dan Azmin kena. Saya tidak boleh bayangkan Tan Sri pun ada video miripnya. Allah lindungi Tan Sri daripada fitnah semacam itu.

Hingga ada yang kata, PKR dan fitnah berpisah tiada. Dari zaman Abang Non kena fitnah sampailah kini giliran Azmin.

Ada macam-macam teori tentang fitnah Azmin ini. Ada yang kata DAP punya kerja. DAP dikatakan kurang sebulu sebab Azmin masih ada semangat Melayunya. Peluang untuk DAP dapat kerusi nombor dua negara susah sikit kalau Azmin yang naik berbanding Abang Non.

Ada yang kata, kem Abang Non punya kerja. Sebab Azmin macam cuba sailang Abang Non punya jalan. Banyaklah buktinya termasuk pelantikan Latheefa Koya sebagai orang nombor wahid SPRM.

Sebelum itupun pelantikan Ketua Polis Negara dan Ketua Hakim Negara oleh Atok dikatakan cubaan mengepung kenaikan Anwar.

Yang paling jauh, kata ini semua Atok punya pelan sebab nak bagi ruang Mukhriz naik jadi PM. Tapi teori ini paling dhaif lah.

Amanah tidak termasuk sebab mereka hanya bercakap untuk mempertahankan tuan tanah kedaung.

UMNO dan PAS tidak termasuk sebab kerusi PM tidak ada kena mengena dengan mereka buat masa ini.

Jadi, jika berlaku sesuatu kepada Azmin, siapa yang paling untung? Abang Non kah? DAP kah? Atok kah? Saya bukan ahlul nujum. Ceritera semakin menarik, tikam-menikam, serang-menyerang, sorok-menyorok. Jangan lupa tempah bertih jagung banyak-banyak!

Yang pasti rakyat yang ada akal dan budi tentu sedang memerhati dan menilai tindak-tanduk kerajaan sekarang. NTHQiBORD 13 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.