SUDAH tiba masanya untuk kerajaan menaikkan gaji anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam usaha mengekang amalan rasuah yang berlaku dalam kalangan pihak berkuasa itu, kata presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Menurut Jais Abdul Karim, pihaknya bersetuju bahawa ianya dilaksanakan di peringkat sarjan dan ke bawah untuk membantu anggota terutama yang tinggal di kawasan bandar.

Namun begitu kenaikan gaji ini bukanlah satu kepastian untuk pasukan beruniform itu untuk tidak terjebat dengan rasuah namun ianya adalah sebagai langkah membendung perkara ini daripada terus merebak.

“Memang tidak ada jaminan bahawa kes rasuah akan dapat dikekang dengan kenaikan gaji ini namun ianya adalah usaha atau kemahuan politik daripada kerajaan.

“Dalam memastikan kes rasuah dalam kalangan anggota PDRM ini dapat dikekang dengan sebaiknya,” tegasnya.

Jelas Jais, kebajikan anggota PDRM ini perlu dijaga kerana mereka adalah penguatkuasa yang mempunyai pasukan yang ramai di dalam negara ini.

Sekiranya kenaikan gaji ini dilakukan nescaya ianya memberi semangat yang lebih kepada anggota untuk menjalankan tanggungjawab mereka kepada orang awam serta negara.

“Namun sekiranya  kebajikan  anggota PDRM ini tidak dijaga semestinya ianya akan membuka pintu yang luas amalan rasuah berlaku.

“Jadi dengan kemahuan kerajaan untuk amalan rasuah ini dikekang ianya mestilah dibuktikn dengan  segera dengan kemahuan politik.

“Inilah dia langkah yang diambil oleh negara jiran Singapura yang sudah melaksanakannya pada 30 tahun lepas untuk memastikan negara itu bebas daripada rasuah,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye turut menyokong cadangan yang diberikan oleh ketua polis negara untuk memberikan kenaikan gaji kepada anggota polis.

Namun begitu beliau berkata, ianya bukanlah langkah terbaik untuk mengekang amalan rasuah dalam kalangan anggota badan beruniform itu.

Perkara itu berkait rapat dengan kesedaran diri dalam kalangan mereka sama ada mahu terjebak ataupun tidak.

“Gaji naik, rasuah akan berkurang, bukan satu jaminan. Dalam usaha mereka meminta pertimbangan kepada kenaikan gaji, pasukan itu juga perlu menumpu usaha kepada pemupukan nilai integriti dalam setiap anggotanya.

“Ini supaya amalan rasuah dalam kalangan anggota dapat dibanteras dengan berkesan,” katanya.-NTHQiBord, 14 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.