KERAJAAN India berkeras mahu Zakir Naik dihantar pulang ke negara asalnya.

Tapi Tun Mahathir Mohamad bertegas tidak akan ekstradisi penceramah bebas bagi menghadapi perbicaraan mahkamah berhubung dakwaan pengubahan wang haram.

Ketegasan Tun Mahathir disahut dengan sokongan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Prihatin Malaysia.

Wakil gabungan tersebut, Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan sokongan itu bukan menidakkan sistem perundangan India.

Sebaliknya bimbang terhadap sistem perbicaraan yang didakwa akan dijalankan ke atas Zakir sebagai tidak adil berdasarkan kepada sikap negara itu dan media arus perdana di sana menanamkan prejudis terhadap beliau.

“Dengan niat itu, ekstradisi yang dituntut oleh kerajaan India hanyalah untuk menahan beliau bertahun-tahun dan kemudian baharu akan dibicarakan,” katanya.

Mohd Azmi berkata, kerajaan India cuba mendakwa Zakir dengan tuduhan untuk mengaitkan beliau dengan pelanggaran undang-undang negara itu dan mengalihkan dakwaan menghasut keganasan kepada pengubahan wang haram.

Tuduhan itu dianggap sebagai naratif untuk menghubungkan Zakir dengan aktiviti pengganas yang sememangnya ditolak tegas oleh pendakwah antarabangsa itu.

Malah pihak berkuasa India sendiri telah gagal menghasilkan bukti untuk menghukumnya.

“Prejudis terhadap Zakir dan orang Islam telah menjadi motif dasar bagi mendakwa beliau dengan niat untuk membendung pengaruh besarnya di India serta dunia Islam.

“Pihak berkuasa India terlibat dalam agenda Islamophobia dan menjadikan Zakir sebagai tokoh sasaran utama bagi menanam kebencian,” katanya. – NTHQiBord, 14 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.