PASUKAN pembelaan Datuk Seri Najib Razak mungkin akan mencabar kelayakan (impeach) saksi ke-39 kes penyelewengan SRC International kerana memberikan keterangan bercanggah.

Tan Sri Ismee Ismail memberi keterangan sejak Isnin lalu (10 Jun) kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kes penyelewengan melibatkan Najib.

Bekas perdana menteri itu menerusi peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee memohon untuk meneliti nota keterangan Ismee, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd yang didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan saksi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Shafee memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pihaknya perlu meneliti kesemua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan beberapa isu.

Peguam itu berkata, pihaknya juga perlu meneliti sama ada terdapat aspek yang bercanggah bagi tindakan selanjutnya termasuk mencabar kelayakan Ismee sebagai saksi kes itu.

Permohonan Shafee itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, yang bersetuju dengan cadangan pembelaan untuk meneliti kesemua dokumen bagi menentukan jalan terbaik bagi perbicaraan berkenaan.

Hakim Mohd Nazlan menangguhkan prosiding kes itu bagi memberi laluan kepada pasukan peguam bela untuk menyediakan permohonan tersebut.

Keterangan bercanggah

Menurut sumber kes itu, Ismee didakwa memberi keterangan mengelirukan sejak beliau dipanggil pada 10 Jun lalu.

Sebagai contoh, beliau mulanya mendakwa Najib, sebagai perdana menteri dan menteri kewangan pada ketika itu, melantik Nik Faisal Ariff Kamil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SRC International.

Namun semasa sesi soal balas dengan pasukan peguambela, beliau memberi keterangan bahawa Nik Faisal dilantik oleh lembaga pengarah 1Malaysia Development Board (1MDB) pada 2 Ogos 2011.

Ironinya, Ismee adalah pengarah 1MDB pada ketika itu dan SRC International ditubuhkan pada 17 Januari 2011 sebagai anak syarikat 1MDB.

Jadi timbul persoalan, adakah Ismee sebagai pengarah 1MDB langsung tidak tahu tentang pelantikan Nik Faisal? – NTHQiBord, 14 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.