LELAKI Australia, Brenton Tarrant yang dituduh membunuh 51 jemaah di dua masjid di New Zealand pada pada hari Jumaat, 15 Mac lalu mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan pembunuhan dan keganasan.

Dalam serangan yang dibuat secara langsung di Facebook, lelaki yang menggunakan senjata separuh automatik mensasarkan umat Islam yang hadiri solat Jumaat di Christchurch, kejadian yang disifatkan pembunuhan beramai-ramai paling buruk di New Zealand.

Hari ini (waktu tempatan) Tarrant hadir di Mahkamah Tinggi Christchurch dengan kawalan ketat di Auckland. Tarrant hanya mendiamkan diri dan peguamnya, Shane Tait mengatakan anakguamnya mengaku “tidak bersalah atas semua tuduhan”.

Inilah kali pertama dakwaan kes keganasan berlaku ke New Zealand.

Tarrant yang kuat menyokong supremasi kulit putih didakwa atas 51 tuduhan pembunuhan, 40 percubaan pembunuhan dan terlibat dalam tindakan ganas dan kejam pada 15 Mac lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Cameron Mander berkata perbicaraan itu akan bermula pada 4 Mei tahun depan.

“Mahkamah berusaha untuk membawa kes-kes jenayah yang serius ke perbicaraan dalam tempoh satu tahun penangkapan. Skala dan kerumitan kes ini menjadikannya begitu mencabar,” kata Mander.

Tarrant ditahan sehingga 16 Ogos ini sehingga pendengaran semula kes.

Lelaki yang berusia 28 tahun itu menghadap kamera penjara, kebanyakannya dengan ekspresi keras tetapi mengejek ketika peguamnya memohon pengakuan tidak bersalah atas namanya.

Sekitar 80 anggota komuniti Muslim Christchurch duduk di belakang mahkamah, penuh dan tenang sepanjang sebutan kes. Namun terdapat beberapa orang yang hadir menghela nafas panjang ketika pengakuan tidak bersalah dinyatakan oleh peguam Tarrant.

Pada pendengaran sebutan kes 5 April lalu, mahkamah telah mengarahkan Tarrant untuk menjalani ujian mental terlebih dahulu untuk menentukan sama ada dia layak untuk dibicarakan.

“Tidak timbul masalah mengenai kebolehan defendan untuk merayu, memberi arahan kepada penasihat, dan menangguhkan perbicaraannya.

“Pendengaran ujian itu tidak diperlukan, ” kata Hakim Cameron Mander dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas pendengaran.

Mander menghalang pengamal media daripada mengambil gambar atau video Tarrant, dan hakim berkata imej daripada pendengaran awal pada bulan April boleh digunakan.

Kerajaan New Zealand mengetatkan undang-undang senjata negara selepas serangan itu dan berkata ia akan mengkaji undang-undang yang berkaitan.

Ia juga telah menyokong usaha antarabangsa untuk memastikan bahawa media sosial gergasi berbuat sesuatu untuk memerangi ekstremisme dalam talian. – 14 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.