SECARA umumnya, karier politik Datuk Seri Azmin Ali dianggap sudah selesai, demikian pandangan Wan Indra Putra Ahmad.

Bagi Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam itu, kenyataan Azmin bahawa penyebaran video tersebut bertujuan menjatuhkan karier politiknya itu memang benar. Memang itulah tujuannya.

Namun, kenyataan seperti itu menurut Wan Indra hanyalah ulangan skrip yang pernah digunakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira 20 tahun dahulu.

Yang paling utama ialah penafian dan diikuti laporan polis.

Sebagai seorang Islam dan berbangsa Melayu, tindakan pantas yang sepatutnya dilakukan oleh Azmin ialah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.

Melengah-lengahkan penafian menyebabkan pelbagai spekulasi dan persepsi masyarakat akan timbul.

Tujuannya supaya pihak polis dapat bertindak segera menyiasat dakwaan penuduh bagi membersihkan kembali nama beliau.

Biarkan polis membuat kerja mereka, tidak perlulah berdebat panjang lebar di media massa.

Semalam, Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa, kes video ini dirancang secara teliti dan berterusan semata-mata untuk mematikan terus karier politik seorang Menteri Kabinet yang sedang berada di tahap terbaik kini.

Bagi Khairuddin perkara ini bukan dilakukan oleh orang luar tetapi kerja orang dalaman sendiri. Kelompok ini cuba merancang pukulan maut terhadap Menteri Kabinet berkenaan.

Berbeza dengan Zuraida Kamaruddin, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu cuba mengaitkan Haziq Aziz dengan UMNO.

Wan Indra dengan sinis menyatakan bahawa memang semua itu salah UMNO, dan salah Datuk Seri Najib.

Katanya, sejak menang PRU14, tidak habis-habis mahu menyalahkan pihak lain. PH semuanya betul.

Dalam kes ini, yang menyebarkan video itu ialah PKR, yang membuat pengakuan juga PKR, yang membuat penafian memang PKR, yang mengarahkan dihentikan sebaran pun PKR.

Jadi, dimanakah peranan UMNO seperti didakwa Zuraida? – NTHQiBord, 14 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.