PAKATAN Harapan (PH) dinasihatkan supaya menyelesaikan masalah dalaman parti mereka sendiri sebelum sibuk menyerang PAS yang sedang bermuktamar ketika ini.

“Saya melihat ramai pemimpin dan ahli dari partipada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang membuat komen tentang Muktamar PAS yang bermula semalam di Pahang.”

“Pada pandangan saya, serangan-serangan terhadap PAS terutamanya ke atas ucapan-ucapan pemimpin PAS timbul akibat rasa tidak selamat atau ‘insecure’ mereka,” kata Dato’ Iskandar A. Samad, Naib Presiden PAS dalam suatu kenyataan media.

Iskandar menasihatkan kepada PH supaya menyelesaikan masalah dalaman parti mereka terlebih dahulu. Tidak perlu menyerang PAS untuk menutup masalah yang melanda PH.

Bagi Iskandar, beliau tidak kisah dengan serangan-serangan PH tersebut malah secara tidak langsung memberi publisiti percuma kepada parti Islam itu.

Sekurang-kurangnya, jika sebelum ini ramai yang tidak sedar, kini ramai yang telah tahu bahawa PAS sedang bermuktamar.

Muktamar bermula dengan Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-59 pada 15 Jun 2019 kemudian diikuti Muktamar ke-60 Dewan Pemuda PAS pada 19 hingga 20 Jun. Muktamar Muslimat dan Pemuda diadakan di Bukit Gambang Resort City.

Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ke-58 pula akan diadakan pada 20 Jun di Wisma Belia Indera Mahkota di sini.

Kemuncak Muktamar PAS kali ke-65 bermula dari 21 hingga23 Jun 2019 di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, Kuantan Pahang,

Dalam pemilihan kali ini, ahli PAS mengekalkan Presiden dan Timbalan Presiden yang menang tanpa bertanding. Begitu juga Ketua Pemuda PAS pusat dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat menang tanpa bertanding.

Namun, kemudiannya, Ketua Pemuda PAS pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi telah menarik diri bagi memberi laluan kepada muka baru.

Dalam pemilihan muslimat semalam sebahagian AJK mengekalkan jawatan masing-masing. Yang menariknya separuh daripada AJK berstatus doktor, sekaligus menunjukkan golongan profesional tidak meninggalkan PAS seperti yang digambarkan sebelum ini. – NTHQiBORD 16 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.