TINDAKAN Azmin Ali menggesa Lembaga Disiplin PKR untuk menyiasat kebocoran maklumat nombor telefon pemimpin parti di ke tangan pihak lain mencetuskan satu kemusykilan.

Adakah Timbalan Presiden PKR itu cuba mengaitkan peranan Invoke Malaysia dalam kebocoran maklumat pemimpin parti itu?

Invoke adalah kumpulan kajian yang diasaskan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sejak 2016 untuk mengumpul dan menganalisis data pengundi pada pilihan raya.

Secara tidak langsungya, Invoke adalah pusat pengumpulan data untuk PKR bagi menjalankan satu-satu kajian.

Susulan penyebaran video songsang pada minggu lalu, Azmin mempersoalkan bagaimana dalang isu itu mewujudkan kumpulan WhatsApp semata-mata untuk menyebarkan beberapa rakaman video lucah yang dipercayai melibatkan dirinya dengan ahli parti itu, Haziq Aziz.

Azmin mempersoalkan penyebaran maklumat nombor telefon ketua cabang dan pegawai rendah cabang berdasarkan nombor telefon dalam kumpulan Whatsapp yang digunakan bagi menyebarkan video terbabit.

Dakwaan Azmin itu sudah dijawab oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata data telefon dan alamat pimpinan parti dari peringkat cabang dan pusat sebenarnya bukanlah sukar diperoleh.

Katanya maklumat itu antara data yang boleh diperolehi pada pemilihan parti yang lalu kerana itu adalah syarat yang ditetapkan.

Saifuddin berkata data seperti nombor telefon atau alamat pemimpin PKR bukan satu rahsia untuk dimiliki mana-mana pihak.

Kenyataan Saifuddin itu juga menimbulkan persoalan sama ada data itu disimpan oleh Invoke?

Selepas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Saifuddin menyuarakan rasa terima kasih terhadap Rafizi dan pasukan Invokenya kerana memainkan peranan penting untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Saifuddin berkata peranan dimainkan Rafizi dan pasukannya, Invoke, menggunakan sistem ‘big data’ memberi kelebihan kepada PH.

Jadi adakah Azmin cuba mengaitkan kelebihan Invoke dalam mengumpul maklumat sebagai punca kebocoran data yang berlaku dalam parti itu?

Timbalan AMK Sabah, Blission Zainuddin juga mendedahkan pelaku video lucah itu, Haziq Aziz sebagai ahli PKR dari kem Rafizi.

Pendedahan Blission itu mengundang persoalan sama ada Rafizi turut terbabit dalam penyebaran video itu.

Rafizi sudah menafikan bahawa beliau langsung tidak terlibat dalam isu penyebaran video songsang tersebut.

Kini terserah kepada Lembaga Disiplin PKR untuk menyiasat dalang penyebaran video itu. – NTHQiBord, 17 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.