KENAIKAN harga simen yang naik mendadak antara 40 hingga 50 peratus akan memberi kesan terutamanya meningkatkan harga industri perumahan, kata bekas perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata perkara ini berlaku disebabkan simen merupakan bahan asas yang utama kepada projek-projek pembinaan.

Malah menurut beliau, keadaan ini juga bakal memberi impak kepada sosioekonomi negara kerana kesannya turut dihadapi oleh rakyat.

“Simen merupakan bahan asas utama dalam projek-projek pembinaan dan infrastruktur.

“Oleh itu, kenaikkan harga simen sebanyak 50% baru-baru ini membimbangkan.

“Ia akan menyebabkan kenaikan kos untuk barang-barang lain termasuk harga rumah dan kos projek kerajaan.

“Akhirnya, kos sara hidup rakyat juga yang akan menerima impak,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya baru-baru ini.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut memberi pandangan yang sama malah mengaitkan harga simen ini akan memberi kesan kepada harga rumah kos rendah.

Beliau turut mempersoal usaha untuk menampung situasi tersebut, adakah akan berlakunya kenaikan harga bagi rumah mampu milik selepas ini.

“Ianya akan menjejaskan projek-projek kediaman mampu milik yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini.

“Adakah harga rumah ini akan dinaikkan?” katanya.

Malah presiden MCA itu turut mendesak agar Pakatan Harapan (PH) untuk bertindak tegas terhadap syarikat tertentu yang menguasai industri simen sehingga membawa kesan kepasa peningkatan harga sumber itu.

“Sekiranya kenaikan ini berpunca daripada tangan-tangan ghaib untuk mendapatkan kuasa monopoli, maka kerajaan PH seharusnya menggunakan Akta Persaingan 2010.

“Yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu untuk menghentikan atau mengurangkan kenaikan harga yang tidak munasabah ini,” tegasnya.

Sementara itu, Lim Guan Eng memaklumkan akan menemui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk membincangkan mengenai langkah yang boleh diambil bagi menangani isu itu.

Menurutnya perkara ini susulan aduan yang diterimanya daripada beberapa syarikat pemaju mengenai kenaikan mendadak harga simen itu yang bimbang akan memberi kesan buruk khususnya kepada sektor pembinaan.

“Kerajaan mengambil berat mengenai aduan ini kerana kenaikan harga simen ini akan memberi kesan sampingan dan berantai dan menjejaskan banyak sektor pembinaan seperti perumahan, jalan raya, kilang dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.