Judi adalah ibu segala jenayah – Ketua Polis Negara

0

PERJUANGAN Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dalam menghancurkan sindiket perjudian di negara ini kini mendapat sokongan yang kuat daripada Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Dengan menyifatkan judi sebagai ibu segala jenayah, Abdul Hamid berkata aktiviti maksiat itu adalah permulaan bagi seseorang untuk melakukan jenayah yang lebih serius.

Abdul Hamid berkata ketagihan berjudi akan menyebabkan golongan muda berhijrah ke alam jenayah kecil dengan pada mulanya mencuri duit ibu bapa, pecah rumah jiran, pecah kereta dan bermacam jenayah kecil yang lain.

“Kemudian dia (pelaku) akan ‘graduate’ dalam bidang jenayah untuk mendapat ‘diplomat’ dan mula berani menyamun dan mencuri motosikal.

“Lepas itu dia akan ‘ditauliahkan’ jadi perompak. Ini semua bermula daripada kegiatan berjudi.

“Sebab itu saya tekankan supaya aktiviti perjudian ini mesti dihentikan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama media baru-baru ini.

Sebelum ini, Presiden JMM Dato’ Azwanddin Hamzah menyambut baik ketegasan Abdul Hamid untuk memerangi penglibatan anggota polis dalam sindiket judi dan maksiat.

Sejak 2010 lagi, JMM yang diketuai oleh Dato’ Azwanddin Hamzah sebagai Presiden, konsisten menentang aktiviti perjudian slot mesin.

Maka dengan amaran keras Ketua Polis Negara yang baharu itu, adalah berbaloi dengan perjuangan JMM selama hampir 10 tahun bagi memerangi aktiviti perjudian yang telah merosakkan rakyat negara ini terutamanya dalam kalangan orang Melayu. – NTHQiBord, 17 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.