SINDIKET judi haram diibarat seperti penyakit barah yang mencengkam masyarakat negara ini kerana ia hanya membawa kepada kewujudan gejala jenayah yang lebih serius, kata Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Malah hasrat Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador untuk menghapuskan sindiket judi ini adalah satu tindakan yang tepat dan disokong oleh pengerusinya, Jais Abdul Karim.

Katanya antara langkah awal yang perlu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah dengan mengenalpasti dalang di sebalik aktiviti perjudian ini.

“Kita perlu cari di mana akar umbi (punca) kepada masalah ini, siapakah tauke besar yang terlibat dan golongan ini harus diperangi segera.

“Ini bagi memastikan aktiviti judi haram ini tidak berleluasa lagi selepas ini,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord, baru-baru ini.

Jais berkata walaupun pada ketika ini kerajaan sudah memberikan lesen kepada pihak yang mahu berjudi, tetapi kewujudan aktiviti perjudian secara haram amat menghairankan.

Katanya melalui kegiatan judi yang menyalahi undang-undang ini ianya akan memberi kesan kepada keamanan negara kerana berlakunya jenayah dalam kalangan individu yang terlibat dengan judi haram.

Sementara itu, tindakan tegas perlu diambil terhadap tauke-tauke judi yang memberi rasuah kepada polis untuk menutup mata mengenai aktiviti haram mereka ini dipersetujui oleh Jais.

Menurutnya, gejala rasuah boleh dielakkan dengan cara menaikkan gaji anggota polis supaya amalan jijik itu dapat dihapuskan dengan segera.

“Kita berpendapat langkah (gaji naik) itu adalah tepat malah perlu dilaksanakan dengan segera.

“Walapun tiada jaminan kenaikan gaji akan mampu untuk membasmi rasuah ini namun ianya adalah langkah positif dan akan membawa kesan yang lebih besar,” katanya.

Baru-baru ini Abdul Hamid sewaktu temu bual eksklusif bersama media memberi amaran tegas kepada pemilik judi haram untuk menghentikan amalan rasuah yang menyasarkan kepada anggota polis.

Beliau turut mengingatkan para pegawainya agar menghentikan hubungan dengan sindiket-sindiket judi dan maksiat yang beroperasi di seluruh negara, bukan sahaja di Kuala Lumpur.

“Selama ini mereka (sindiket judi dan maksiat) telah lama bermaharajalela merasuah polis seolah-olah tiada undang-undang dalam negara kita.

“Saya bagi amaran kepada semua pegawai kanan saya supaya hentikan (mengambil rasuah).

“Saya juga tidak mahu (rasuah) duit yang mereka bagi. Saya pun tak ingin.

“Saya serius dan bukan main wayang,” katanya pada temubual terbabit. – NTHQiBord, 17 Jun, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.