BEBERAPA pakar antarabangsa memberi pandangan terhadap klip video seks songsang yang melibatkan menteri mirip Datuk Seri Azmin Ali.

Berdasarkan laporan media Australia, SBS News yang meminta pandangan pakar, walaupun tidak dapat mengesahkan jika orang dalam video tersebut ialah Azmin, namun mereka bersetuju bahawa kelihatan tidak ada sebarang pengubahan digital dibuat.

Pakar forensik digital, Kevin Nguyen memberitahu SBS, jika video itu adalah ‘deepfake’ (hasil kepintaran buatan AI), ia adalah penipuan yang sangat baik.

Nguyen ialah pakar forensik digital yang sebelum ini berunding dan menyediakan pengesahan kandungan untuk BBC dan New York Times serta kini bekerja untuk Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

“Saya menjalankan beberapa analisis forensik… terhadap tiga video itu dan pada enam perkara yang saya periksa tiada bukti terdapat manipulasi foto atau imej,” jelasnya.

Turut memberi pandangan sama adalah Profesor Siwei Lyu dari Kolej Kejuruteraan dan Sains Gunaan di University of Albany di Amerika Syarikat dan beliau pakar dalam bidang kepintaran buatan dan forensik media.

“Dengan menghalang artifak mampatan (compression artifacts), tidak ada jejak algoritma (AI) Deepfake yang pasti, seperti orientasi muka yang tidak konsisten, atau wajah yang terapung,” katanya.

Walau bagaimanapun, pakar lain yang dipetik SBS, Giorgio Patrini, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Deeptrace dari Australia, berkata kualiti video itu terlalu rendah untuk membolehkan mendapat suatu analisis muktamad.

Firma Patrini mengendalikan pengesahan video yang diubah dengan teknologi Deepkfake.

“Tiada seorang pun daripada penganalisis yang boleh mengesahkan bahawa Azmin ialah lelaki dalam video itu, mereka hanya membuat kesimpulan bahawa video itu tidak pernah diubah secara digital,” kata laporan itu lagi. – 17 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.