Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

KETIKA seluruh Malaysia sedang hangat membincangkan isu video songsang mirip Datuk Seri Azmin Ali, Tun Mahathir Mohamad memberi pandangannya tentang perkahwinan sejenis.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak mungkin akan membenarkan perkahwinan sesama jenis seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain.

Perdana Menteri berkata, ini kerana perkahwinan sesama jenis tidak mampu melahirkan zuriat seperti perkahwinan di antara lelaki dan perempuan.

“Saya tak faham perkahwinan sesama jenis ini. Perkahwinan ialah tentang anak. Kalau perkahwinan sesama jenis, boleh dapat anak?

“Apa mereka buat? Mereka ambil anak angkat, dan sebagainya,” katanya.

Beliau mengulas sama ada Malaysia akan mengikut jejak langkah Taiwan meluluskan undang-undang perkahwinan sesama jenis.

Parlimen Taiwan baru-baru ini meluluskan undang-undang perkahwinan sesama jenis.

Perkara itu berbangkit ketika isu video songsang melibatkan menteri mirip Datuk Seri Azmin Ali sedang hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat dan pemimpin politik.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, kebebasan juga perlu ada batasnya kerana hak mutlak untuk melakukan ‘apa sahaja’ tidak wujud.

“Pada kami, ia pemikiran yang ke belakang. Hanya kerana kamu rasa manusia perlu bebas dan mereka boleh lakukan apa sahaja, mereka merasakan perkahwinan lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, ‘Oh itu tidak apa, itu hak mereka’.

“Saya rasa hak (kebebasan) perlu atas batasnya. Tidak wujud hak mutlak untuk melakukan apa sahaja,” katanya. – 17 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.