PADA tahun 2018, PAS berusaha agar RUU 355 dibentangkan di Parlimen dalam usaha menambahbaik undang-undang syariah di Malaysia.

Bidang kuasa Akta 355 sekarang hanya setakat enam sebatan sahaja, ia perlu dipinda supaya hukuman 80 kali sebatan boleh dilakukan.

Pembentangan RUU persendirian itu akhirnya mendapat laluan oleh Kerajaan Barisan Nasional pada ketika itu. Walau bagaimanapun pembentangan RUU itu tidak dapat dibahaskan sehinggalah PRU14.

Sejak awal pembentangan tersebut, pihak yang paling lantang menentangnya ialah kelompok pembangkang pada ketika itu yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.

Bukan sahaja ditentang, malah menjadi bahan ejekan pula.

Dalam perkembangan lain, penganalisis politik, Dr Kamarul Yusoff mahu para mufti memainkan peranan mendesak supaya akta atau enakmen yang berkaitan jenayah syariah dipinda supaya memasukkan tuduhan liwat ke dalam qazaf.

Menurut beliau, bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 (2015) adalah contoh enakmen yang menepati kehendak syarak dalam isu qazaf kerana memasukkan tuduhan liwat ke dalam qazaf dan menghukum qazaf dengan hukuman yang menepati kehendak syarak.

Oleh itu pada hemat Dr Kamarul, Mufti Wilayah Persekutuan juga patut menyatakan bahawa Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan kebanyakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri lain tidak menepati kehendak syarak kerana tidak memasukkan tuduhan liwat ke dalam qazaf.

Bahkan akta dan enakmen termasuk Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang memasukkan tuduhan liwat ke dalam qazaf, menghukum qazaf dengan hukuman yang tidak menepati kehendak syarak.

Semua akta dan enakmen patut diseragamkan bagi memasukkan tuduhan liwat ke dalam qazaf. Juga bidang kuasa jenayah mahkamah syariah diperluaskan melalui pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membolehkan qazaf dihukum dengan hukuman yang menepati kehendak syarak.

Akibat kelemahan inilah panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan Syariah menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan prosiding qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan dan prosiding qazaf terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Hakim Datuk Seri Dr Md Yusup dilaporkan ketika menyampaikan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah pada 5 Jun 2017 “meminta pemerintah dan badan perundangan negeri meminda Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bagi membolehkan seseorang yang menuduh orang lain melakukan perbuatan liwat dituduh di mahkamah.”

Sehingga kini permintaan tersebut terus tidak mendapat perhatian. Padahal Anwar sudah pun berada dipihak kerajaan. Beliau sepatutnya mengambil peluang ini untuk menunaikan permintaan tersebut demi memperkasakan mahkamah syariah.

Akibatnya, Azmin yang juga berada dalam kelompok kerajaan kini menjadi mangsa terbaharu akibat kekurangan dan kelemahan akta dan enakmen tersebut.

Oleh itu, tindakan Hilman Idham membuat laporan qazaf di Pejabat JAWI tidak memberi apa-apa makna selagi akta ini tidak dipinda.

Jadi, tuntutan PAS supaya akta dan enakmen ini diperkasa bukanlah bertujuan kepentingan politik mereka tetapi demi menyelamatkan Anwar, Azmin dan sesiapa sahaja daripada serangan politik kotor dan jijik. – 17 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.