ISU yang masih hangat dalam kalangan rakyat Malaysia ialah berkenaan video songsang yang telah tersebar ke merata ceruk.

Soal siapa pelakunya tolak ke tepi dahulu, kerana ada isu yang lebih besar daripada itu.

Kini, banyak pihak mula mencari apakah motif disebalik penyebaran video tersebut, siapa sasarannya, siapa perancang, siapa untung dan siapa rugi.

Ada yang menafsir isu video ini adalah komplot dalaman PKR yang mahu menyekat Azmin dan memberi tekanan kepada Tun Mahathir supaya memberi laluan kepada Anwar.

Ada juga yang menafsir komplot ini dilakukan oleh kumpulan Tun Mahathir untuk menunjukkan sisi buruk dan gelojoh kumpulan Anwar dalam usaha mengejar jawatan Perdana Menteri.

Isu video ini diibaratkan serampang dua mata. Membunuh dua ekor burung dengan satu batu.

Persoalannya, siapakah yang menjadi burung itu dan siapakah yang melemparkan batu.

Tun Mahathir dalam Sinar Harian 13 Jun yang lalu mempertahankan Azmin Ali dan menyatakan bahawa jika seseorang itu tidak boleh menang ke atas seseorang yang lain, jangan buat perkara kotor.

Jangan jadikan penyebaran perkara lucah ini jika kamu hampir kalah dan mahu menang. Jadikan politik itu bersih, kata Tun Mahathir.

Hakikatnya, isu video ini bertujuan memastikan musuh politik dapat dilemahkan atau dihapuskan terus walaupun terpaksa menggunakan taktik kotor.

Kepada siapa ditujukan “bermain taktik” kotor itu tidak disebut.

Permainan ini semakin menarik apabila Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrulhisham Shaharin (Chegu Bard) mendakwa seseorang yang dikatakan pegawai khas Anwar Ibrahim berada bersama-sama Haziq di KLIA.

Sementara itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan isu video seks ini dilakukan oleh orang dalam PKR.

Saifuddin juga menyangkal dakwaan Azmin bahawa bagaimana pihak penyebar memperoleh nombor telefon kepimpinan PKR. Hal ini kerana kesemua telefon nombor terbabit mudah diperoleh kerana ia bukan maklumat sulit.

Dalam hal ini, DAP dilihat mengambil jalan mendiamkan diri. Namun, ramai yang tahu bahawa jika Anwar berjaya dalam misinya menjadi PM, peluang DAP menjadi TPM bakal menjadi kenyataan. Ada yang mendakwa itu janji Anwar kepada DAP.

Rakyat kini sedang melihat permainan peringkat tertinggi dalam percaturan politik negara. Tidak kiralah komplot ini dirancang oleh sesiapa, tetapi dari segi taktikalnya Tun Mahathir mempunyai kelebihan.

Jika Anwar tersilap percaturan, dia bakal sekali lagi kempunan untuk menjawat jawatan idaman sejak 20 tahun dahulu. Tun Mahathir sentiasa menang!-17 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.