GERAKAN untuk mendesak Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri sudah dimulakan.

Usaha itu sebagai membalas desakan segelintir pihak yang mahu Tun Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai cita-citanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram dari Bersatu, Mohd Shaid Rosli menyifatkan gesaan agar Mahathir berundur atau letak jawatan sebagai tidak masuk akal.

Ini kerana katanya, Wan Azizah terlebih dahulu perlu letak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri supaya suaminya, Anwar boleh menjadi orang kanan Mahathir.

“Tidak mungkin dalam pelantikan Perdana Menteri kepada Anwar sedangkan Timbalan Perdana Menteri adalah isterinya, Wan Azizah.

“Gesaan untuk Wan Azizah letak jawatan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang baharu.

“Timbalan Perdana Menteri yang baharu akan diberi mandat untuk meneruskan kepimpinan sebagai Perdana Menteri yang akan datang,” kata Ketua Bersatu Bahagian Damansara itu.

Mohd Shaid juga mengingatkan bahawa pelantikan Perdana Menteri perlu mengikut persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan, bukannya dari sesebuah parti.

Dengan merujuk parti itu sebagai PKR, Mohd Shaid berkata isu dalaman parti pimpinan Anwar itu perlu diselesaikan oleh kepimpinan parti itu sendiri.

“Isu sensasi dalaman PKR seharusnya tidak mengaitkan mana-mana pihak antara pemimpin parti PH.

“Keharmonian kerjasama parti dalam PH sangat penting dalam membina Malaysia Baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – 17 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.