MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan bahawa dia tahu siapa yang menyebarkan video seks kontroversi yang dikaitkan dengannya.

Dia yakin perbuatan itu dilakukan oleh pihak dalaman parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Keyakinan itu disuarakan ketika menjawab pertanyaan wartawan dalam majlis menandatangani perjanjian hak pembangunan antara Konsortium PCSB-MGB dengan Must Ehsan Development Sdn Bhd di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, Selangor.

Beliau percaya bahawa penyebaran video tersebut mempunyai agenda politik pesaing yang mahu menjatuhkannya.

“Saya yakin, umum akan dapat melihat siapakah dalang dalam hal ini. Biar polis jalankan siasatan. Saya rasa tidak adil sekiranya membuat kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

“Biarlah rakyat buat hukuman atas perkara ini dan sekarang terbukti, semakin jelas bayangan pihak terlibat dalam konspirasi serta tohmahan ini,” katanya.

Semalam pihak polis telah mengambil keterangan daripada Azmin berhubung penularan video seks yang dikaitkan dengan beliau, demikian menurut peguamnya N Surendran

Sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Azmin bukanlah individu yang dikaitkan dalam video lucah yang tersebar itu.

Tun Mahathir berkata, penyebaran video itu jelas bermotifkan politik dan bertujuan menjatuhkan Azmin.

Menurut Tun Mahathir, dengan kemajuan teknologi terkini dan kepakaran yang ada perkara itu tidak mustahil dilakukan.

Dalam perkembangan lain, media Australia, SBS News melaporkan bahawa video terbabit tidak diubahsuai secara digital, selepas mendapat pandangan beberapa orang pakar.

Ini bermakna video itu adalah asli, cuma tidak dapat dipastikan bahawa pelakunya adalah individu seperti yang didakwa.

Namun, Azmin berkata adalah tidak adil mana-mana pihak membuat sebarang kenyataan kerana siasatan mengenainya sedang dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat. – 18 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.