SEMALAM, Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohd Shaid Rosli yang mendesak Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu jika PKR mahu peralihan kuasa di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berlaku dalam tempoh berbaki setahun lagi.

Namun hari ini, Wan Azizah bertegas beliau tidak akan melepaskan jawatannya sehingga suami kesayangnya mengambil alih kepimpinan negara daripada Tun Mahathir.

Ketegasan Wan Azizah itu sekali gus menolak gesaan supaya beliau melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Anwar dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri yang baharu dan seterusnya mengambil alih kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Saya ingat tidak berbangkit sebab kita dah janji sebelum ini bahawa Perdana Menteri adalah Tun Mahathir (Mohamad), dan saya adalah Timbalan Perdana Menteri.

“Masa saudara Anwar ambil sebagai presiden parti (PKR) pun tidak ada perbedaan, jadi saya dah katakan bila Anwar jadi PM, saya akan ‘step down’ (berundur), so tiada isu,” katanya.

Katanya, beliau tetap berpegang pada janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menyetujui Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika mengambil alih kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa peralihan kuasa akan berlaku seperti mana dijanjikan oleh Dr Mahathir iaitu memberi laluan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri selepas dua tahun pembentukan kerajaan PH. – 18 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.