SUDAH beberapa hari membisu, hari ini Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku mengadakan hubungan homoseks dengan ‘Azmin Ali’ kembali membuka mulut.

Kali ini nadanya lebih sedih dan meluahkan perasaan tentang apa yang dihadapinya.

Katanya, beliau juga adalah mangsa dalam kejadian itu.

“Semua orang lupa bahawa saya pun adalah mangsa kerana ada orang yang merakam dan membocorkan apa yang sepatutnya menjadi saat intim,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan.

Ketua Pemuda PKR Santubong juga mendakwa tidak tahu mengenai dalang di sebalik rakaman itu ketika ditanya sama ada dia telah mendedahkan butiran kejadian kepada polis.

Beliau bagaimanapun memuji polis kerana melayannya dengan baik semasa dalam tahanan berikutan penangkapannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat lalu.

“Mereka layan saya dengan baik. Polis yang jaga saya sangat profesional dan mereka kekal berkecuali,” katanya.

Haziq, yang dibebaskan dengan jaminan polis, bersyukur kerana keluarganya menyatakan sokongan terhadap dirinya.

“Mereka (ibu bapanya dan adik-beradik) tahu saya memerlukan semua sokongan yang boleh mereka berikan sekarang… Ini mungkin mengambil sedikit masa untuk sembuh tetapi saya selalu ada keluarga saya bersama,” katanya.

Pihak polis sedang menyiasat video berkenaan bagi menentukan sama ada klip itu adalah sahih. – 18 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.