KEJATUHAN nilai ringgit, suasana ekonomi yang tidak memberangsangkan, harga barangan yang meningkat, masalah petani, nelayan, dan peneroka yang masih tidak terbela dan pelbagai masalah lagi.

Semua ini berlaku pada era Malaysia Baharu di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Itu tidak termasuk janji manifesto yang dikhianati seperti menghapuskan tol, hapuskan PTPTN, pendidikan percuma dan janji peluang pekerjaan.

Namun, yang berlaku ialah pemimpin kerajaan sibuk berebut jawatan, bergaduh sesama sendiri, fitnah rakan separti, dan bermacam tindakan jijik sehingga lupa peranan sebenar mereka.

Akibatnya, rakyat Malaysia semakin bosan dengan karenah pemimpin kerajaan DAP-PH hari ini.

“Walaupun kerajaan DAP-PH cuba mengatakan bahawa ekonomi bertambah baik, namun saya rasakan itu semua suatu bentuk penipuan kepada rakyat,” ujar Datuk Hamidah Osman, Naib Presiden Putra, ketika dihubungi.

Menurut Datuk Hamidah, rakyat kini merasai sendiri keperitan akibat kejatuhan ekonomi samasa.

Beliau mengambil contoh, suasana hari raya pada tahun ini hambar dan tidak semeriah tahun sebelumnya.

Pada tahun ini, kebiasaannya meriah dengan rumah terbuka sehingga tidak cukup tempoh sebulan Syawal.

Perkembangan ini menjadi petunjuk kepada kelembapan ekonomi negara, apatah lagi ramai yang hilang pekerjaan dan peniaga bazar Ramadan merungut kerana jualan menurun.

“Kerajaan DAP-PH tidak boleh menafikan bahawa hal ini adalah akibat kelemahan mereka sendiri dalam mentadbir negara.”

“Yang terjadi dalam negara ini turut mendapat perhatian negara luar terutama pelabur.

“Mereka takut melabur kerana melihat pemimpin berantakan sesama sendiri, berebut kuasa, dan menjatuhkan satu sama lain,” ujar Hamidah yang juga Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan hari ini mesti segera membubarkan Parlimen.

Katanya, kerajaan tidak boleh terlalu ego mempertahankan kuasa sehingga lupa rakyat yang menderita.

Warga Felda pula dilaporkan makin terbiar sehingga ada yang kenderaannya telah ditarik malah ada yang dipotong bekalan elektrik dan air.

Ketika ditanya tentang peranan DAP dalam kerajaan hari ini, beliau menyifatkan parti itu pandai bermain wayang, ibarat baling batu sembunyi tangan.

DAP pantas mempertahankan Anwar dalam banyak isu, tetapi mendiamkan diri dalam isu Azmin Ali.

Dalam isu Azmin Ali, beliau tidak mahu rakyat semata-mata fokus kepada isu dalaman parti komponen PH, tetapi melihat isu ini dalam sudut yang lebih besar.

Isu ini turut mendapat perhatian media antarabangsa dan mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Isu ini lebih memalukan berbandiang isu 1MDB sebelum ini. – NTHQiBORD 18 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.