MANA-mana ahli politik yang terbabit dengan siasatan kes rasuah perlu berehat untuk tempoh tertentu, kata Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Menurut presidennya, Jais Abdul Karim tindakan itu menunjukkan pemimpin tersebut bersikap tanggungjawab dan profesional walaupun tidak terbukti lagi kesalahan tersebut dilakukannya.

“Kepada ahli politik, tidak kira mana-mana parti sekiranya terdapat pertuduhan yang serius bersama bukti maka mereka perlu bertanggungjawab.

“Berilah ruang kepada diri mereka sendiri untuk berehat dan biarkan pihak berkuasa untuk buat siasatan yang lebih adil…kita bukan hendak berpihak kepada sesiapa,” katanya.

Tambahan pula sekiranya siasatan itu adalah melibatkan seorang individu yang berprofil tinggi antaranya menteri, nescaya ianya akan turut sama memberi kesan kepada negara, ujarnya.

Katanya lagi, ketika ini Malaysia sedang dipandang tinggi dalam kalangan negara luar. Jadi adalah menjadi keperluan untuk pemimpin tersebut untuk mengundurkan diri buat sementara waktu.

Malah katanya, sekiranya negara ditadbir oleh pemimpin yang tidak berintegriti ianya akan memberi tanggapan yang buruk kepada kepada negara.

“Kerana Malaysia sedang dipandang tinggi oleh negara lain..kalau kita tidak ada integriti dan tadbir urus yang baik, dengan laporan polis dan tuduhan rasuah tidak laksanakan tadbir urus dan integriti.

“Maka dimanakah keadaan Malaysia berada, bagaimanakah persepsi terhadap negara kita,” katanya ditemui pada sesi wawancara di studio Nothing To Hide, semalam.

Jais turut menegaskan bahawa rakyat turut memerhati sebarang tindakan yang dilakukan kerajaan.

Sekiranya siasatan dilakukan sambil lewa ianya akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap kerajaan sedia ada, ujarnya.

Malah menurut Jais perubahan kerajaan yang dilakukan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu adalah disebabkan kepercayaan rakyat untuk memastikan kerajaan baharu ini membanteras rasuah dengan sebaiknya.

“Mereka (pemimpin terpalit dengan rasuah) kena bercuti, kerana rakyat hendak  lihat ketelusan, rakyat ingin lihat keadilan.

“Semua org termasuk yang dituduh itu..kalau dia masih pegang jawatan dan dia disiasat dan kemudian ada isu campur tangan dalam hal berkaitan (rasuah)..itu tidak bagus (pandangan rakyat),” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Adam membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan salah laku rasuah oleh seorang menteri Kabinet yang telah menerima sejumlah AS$741,440 (RM3.08 juta) daripada satu konglomerat pada Disember 2017.

Namun begitu Datuk Seri Azmin Ali, menteri yang disebut-sebut sebagai individu tersebut menafikan penglibatannya dalam kes rasuah berkenaan. – NTHQiBord, 18 Jun, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.