NIK Faisal Ariff Kamil sekali lagi menipu Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd.

Kali ini bekas ketua pegawai eksekutif syarikat itu didapati berbohong kepada lembaga pengarah bahawa syarikat kononnya akaun SRC International mempunyai baki RM16 juta.

Bekas pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail semalam memberi keterangan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Nik Faisal memaklumkan perkara tersebut dalam satu mesyuarat lembaga pengarah pada 13 September 2011.

Dalam mesyuarat itu Nik Faisal memberitahu lembaga pengarah bahawa SRC International mempunyai RM16 juta untuk dibelanjakan dalam akaunnya.

Ismee mengaku lembaga pengarah percaya dengan kata-kata Nik Faisal ketika itu.

Bagaimanapun saksi ke-39 itu terkejut apabila pihak pembelaan menunjukkan penyata bank syarikat itu kepada mahkamah.

Dokumen bank itu menunjukkan akaun utama SRC International di Ambank yang berakhir dengan nombor 650 hanya berbaki RM273 pada tarikh 11 September 2011, hari yang sama Ismee dimaklumkan Nik Faisal bahawa syarikat itu masih mempunyai RM16 juta.

Satu lagi akaun ‘rahsia’ syarikat itu yang didaftar oleh Nik Faisal dan seorang lagi pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin, hanya berbaki RM17,000 mengikut penyata bank bertarikh 13 September 2011.

Minggu lalu, Ismee memberitahu mahkamah bahawa lembaga pengarah tidak pernah tahu tentang kewujudan akaun kedua SRC International yang berakhir dengan nombor 736.

Ketika sesi soal balas dengan peguam bela, Ismee ditanya sama ada Nik Faisal mungkin berbohong kepada lembaga pengarah kononnya bekas CEO itu sering bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan hal SRC International.

Ismee hanya menjawab ‘Saya tidak tahu.’

Najib yang merupakan bekas perdana menteri dan menteri kewangan berdepan tujuh dakwaan melibatkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Kesemua pendakwaan itu membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International. – NTHQiBord, 17 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.