MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa isu kaedah pemberian subsidi peterol RON95 bersasar bagi golongan B40 akan dimuktamadkan pada bulan ini.

Saifuddin menyatakan bahawa beliau akan bertemu dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk membawa kertas kerja berkenaan sebelum dibawa ke Kabinet, lapor Utusan Online.

Menurut beliau kaedah pemberian subsidi, formula, jumlah penerima yang layak, data pengguna dan syarikat pengendali stesen minyak akan dimuktamadkan dalam pertemuan tersebut.

“Namun, kami masih menunggu maklum balas daripada pihak Kementerian Kewangan untuk menentukan tarikh pertemuan pada bulan ini juga,” katanya.

Tambah beliau, pertemuan dengan beberapa pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan persatuan pengguna sudah pun dilakukan bagi mengenalpasti formula penyampaian subsidi.

“Kami sudah melepasi tahap itu, justeru dalam pertemuan tersebut hanya perkara ini sahaja akan dibincangkan untuk dimuktmadkan nanti,” ujarnya.

Harga minyak merupakan salah satu janji manifesto Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang lalu. Sehingga kini selepas setahun berlalu, janji menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 belum terlaksana. – 18 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.