AHLI PKR yang mengaku individu dalam video seks songsang, Haziq Abdullah Abdul Aziz diberi masa 14 hari untuk membalas surat tunjuk sebab atas perbuatannya itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, keputusan itu dibuat pada Ahad 16 Jun lalu dan dikemukakan kepada Mesyuarat Biro Politik yang telah berlangsung petang tadi.

Menurutnya, surat tunjuk sebab itu akan diserahkan kepada Haziq setelah mendapati bekas Ketua Pemuda Santubong itu telah mencemar dan merosakkan parti.

“Ada empat perkara yang telah dirumuskan oleh Lembaga Disiplin  PKR parti yang kami kemukakan kepada Biro Politik hari ini.

“Surat tunjuk sebab akan diberikan kepada Haziq kerana telah mencemar nama parti dengan membuat kenyataan umum yang menjatuhkan maruah dan merosakkan reputasi dan keperibadian pimpinan parti.

“Lembaga Disiplin PKR ambil maklum penafian yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan akan meneliti sebarang penjelasan sekiranya ada,” katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru Ahmad Kassim berkata, pihaknya juga menunggu siasatan daripada polis Diraja Malaysia atau pihak lain yang berautoriti terlebih dahulu dalam kes yang sama.

Ahmad Kassim berkata lembaga disiplin parti juga memberikan amaran keras kepada semua ahli parti supaya tidak membuat kenyataan tanpa asas dan fakta kepada kepimpinan parti. – 19 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.