KETIKA ‘jeneral’ PKR, Anwar Ibrahim cuba meredakan peperangan dalam parti itu, muncul satu lagi serangan terbaharu terhadap kemnya.

Kali ini, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin tampil mempersoalkan pendirian parti tidak memecat Haziq Abdullah Abdul Aziz yang sudah jelas melakukan kesalahan jenayah.

Haziq sebelum ini mengaku melakukan hubungan homoseks dengan individu yang didakwanya sebagai Azmin Ali.

Menurut Zuraida, beliau berasa janggal dan hairan dengan pendirian beberapa pimpinan parti dalam menangani hal yang amat serius ini.

Tambah Ahli Parlimen Ampang itu, kegagalan pimpinan parti mengambil tindakan tegas seolah mengiyakan persepsi dan tanggapan bahawa ada ‘tangan ghaib’ yang mencatur semuanya.

“Ini menunjukkan kelemahan ketara saf kepimpinan parti masa kini khususnya dari kalangan yang dilantik ke jawatan di peringkat pusat dan negeri yang gagal menghadam erti reformasi.

“Ada juga yang mempunyai watak serta latar belakang yang meragukan. Implikasinya terhadap keyakinan rakyat kepada parti amat besar kerana Haziq juga telah memburukkan dengan mengaitkan beberapa nama pimpinan parti yang lain,” tegasnya.

Kem PKR mula bergolak sejak semalam apabila kem Anwar dan Azmin saling menuding jari berhubung isu penyebaran video seks songsang.

Bagaimanapun, Anwar tampil meredakan keadaan dengan mengingatkan ahli partinya supaya tidak mengganggu siasatan polis. – 18 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.