DATUK Hamidah Osman, Naib Presiden Putra menyeru UMNO-PAS berperanan menyatupadukan orang Melayu daripada pelbagai parti politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Saranan itu dibuat sebagai respon kepada kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan, Pemangku Presiden UMNO yang menjangkakan Parlimen akan dibubarkan lebih awal.

Beliau juga maklum tentang rundingan yang sedang berlangsung antara UMNO dan PAS.

“Dalam konteks perpaduan ummah, UMNO dan PAS wajar menjadi penaung dan berperanan menyatukan orang Melayu dan Islam. Kedua-dua parti orang Melayu Islam terbesar itu disaran jangan tinggalkan mana-mana parti orang Melayu yang lain dan NGO yang berpengaruh,” kata Hamidah ketika dihubungi NTHQiBord baru-baru ini.

Hamidah berharap seluruh umat Islam dan Melayu bersatu demi agama, bangsa dan negara.

Sehingga kini, kerjasama UMNO– PAS semakin erat. Hal ini diakui sendiri oleh pimpinan kedua-dua parti.

“Kerjasama ini bertambah baik dan lancar, malah terdapat cawangan PAS dan UMNO yang anjur sambutan Aidilfitri bersama,” kata Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas Menteri Pendidikan.

Mahdzir berkata, kekuatan dalaman parti juga harus dikukuhkan dan perlu ada kesetiaan. Malah kerjasama bersama PAS yang kini semakin erat harus terus disuburkan, bukan sahaja di peringkat tertinggi namun termasuk akar umbi.

“Peringkat kampung turut tunjukkan kerjsama erat, ia amat berbeza dengan situasi dahulu.” kata Mahdzir lagi.

Sementara itu, UMNO dan PAS sedia berbincang bagi membentuk piagam untuk memudahkan kedua-dua parti ini merangka pelan strategi menyatukan orang Melayu dan Islam serta menghadapi PRU yang akan datang.

Suasana politik hari ini menuntut kesemua orang Melayu dan Islam yang berbeza fahaman politik bersatu hati menghadapi pihak yang cuba mempertikaikan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Tindakan DAP menuduh perpaduan ummah sebagai Taliban menguatkan lagi betapa mereka gerun dengan perubahan pola sokongan masyarakat Melayu Islam.

Bahkan, tindakan orang Melayu Islam yang mampu berhimpun dan sependapat dalam isu berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan isu berkaitan Islam merisaukan DAP dan pembodeknya sehingga menggelarkan Melayu rasis.

Mereka lupa, ada kalanya DAP, Gerakan dan MCA bersatu dalam sesetengah isu yang membabitkan bangsa mereka – tidakkah itu juga rasis? Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Tindakan UMNO dan PAS ini bukan bersifat perkauman, tetapi sebagai suatu ingatan kepada pihak yang tidak mengenang budi bahawa suatu masa dahulu mereka datang mencari rezeki di Tanah Melayu ini.

Setelah diberi taraf warganegara dan menikmati segala macam kemudahan termasuk dalam urusan perniagaan dan politik, kini mahu menjadi “raja” pula.

Ibarat diberi bunga dibalas tahi. Sudah diberi peha, mahu betis pula.

Oleh itu, orang Melayu Islam perlu bangkit mempertahankan hak mereka sebagai tuan tanah kepada negara ini. – NTHQiBORD 19 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.