TINDAKAN timbalan menteri pendidikan mencampuri urusan orang Islam mengundang perhatian Mufti Negeri Sembilan dan Mufti Perak.

Teo Nie Ching baru-baru ini dikecam pelbagai pihak selepas terpalit kontroversi kerana mencadangkan pasukan khas diwakili pelbagai kaum untuk membincangkan subjek Pendidikan Islam bagi sekolah kebangsaan.

Menurut Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad adalah tidak wajar langkah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu.

Kata beliau orang bukan Islam tidak memahami berkenaan hukum dan peraturan agama Islam yang sebenar.

Disebabkan itu beliau mempersoal kewajaran untuk meminta pandangan kepada orang bukan Islam berkenaan sukatan Pendidikan Islam.

“Apabila saya menerima maklumat hal ini, saya tertanya-tanya kenapa pula bukan Islam nak tentukan macam mana hal-hal orang Islam?

“Mereka mungkin akan ikut cara akal sedangkan orang Islam ikut ilmu yang kita tahu, peraturan ilmu, iktikad, akidah dan amalan Islam lain, memang tidak sepatutnya pandangan bukan Islam diambil untuk memperbaiki hal-hal berkaitan pendidikan Islam,” katanya.

Mohd Yusof berkata, orang Islam juga sudah tentu tidak diberikan berhak untuk masuk campur dalam urusan agama lain apatah lagi memberikan pandangan.

“Kita (umat Islam) tak boleh beri pandangan penambahbaikkan kepada ibadah agama lain, begitu juga mereka, jika perkara ini dibenarkan ia akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Mufti Perak turut memberikan pandangan yang sama dengan melahirkan rasa khuatir kerana orang bukan Islam akan memberikan pendapat mengikut akal pemikiran mereka.

Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan golongan bukan semestinya tidak memberikan penilaian tanpa merujuk al-Quran dan Sunnah.

“Mereka akan cenderung memberi pandangan berdasarkan akal dan kepentingan diri semata-mata, sedangkan mengikut tradisi dan falsafah Pendidikan Islam perlu bersumberkan hukum daripada al-Quran dan Sunnah serta sumber yang disepakati oleh ulama.

“Jika pembabitan bukan Islam dalam cadangan penambahbaikan ini dibenarkan, dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyokong hasrat KPM untuk menyemak kembali sukatan Pendidikan Islam.

Namun begitu Harussani berkata adalah lebih baik penambaikan dilakukan mengikut peredaran masa kini dengan mengekalkan silibus sedia ada.

“Secara dasarnya saya menyokong dan bersetuju dengan usaha penambahbaikan tersebut.

“Namun saya ingin menegaskan di sini bahawa usaha penambahbaikan itu mestilah dilakukan tanpa mengurangkan silibus mata pelajaran Pendidikan Islam sedia ada.

“Saya sangat menghargai usaha murni bagi menambahbaik bukan sahaja mata pelajaran Pendidikan Islam, tetapi mata pelajaran lain juga.

“Tetapi biarlah kajian dijalankan oleh ahli yang berkelayakan berdasarkan firman Allah di dalam surah An-Nahl ayat 43 : ‘Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan’,” ujarnya.

Harussani mengajak orang Islam untuk memberikan pendapat berkenaan silibus baharu Pendidikan Islam melalui pautan rasmi kementerian berkenaan. – NTHQiBord, 20 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.