Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas laporan Malaysiakini yang mengaitkan perkara tidak benar berkenaan pemimpin tertinggi UMNO, iaitu pemangku presiden.

Menurut naib presiden UMNO itu, laman portal berita itu tidak bertanggungjawab sehingga memberikan persepsi buruk pembaca kepada Datuk Seri Mohamad Hassan.

Malah selepas laporan itu dikeluarkan, Malaysiakini hingga ke hari ini terus membisu walaupun telah memberikan laporan berita yang salah serta berniat jahat kepada Mohamad Hassan, ujar Mohamed Khaled.

“Malaysiakini menerusi laporannya bertajuk ‘Mat Hasan Dalang Mahu Singkir Zahid, Najib’, bertarikh 30 Mei 2019 turut mengutip dan menyebarkan cerita dan cakap-cakap tidak berasas ini.

“Kononnya cadangan pindaan Perlembagaan UMNO bertujuan untuk menyerang sesetengah individu secara khusus,

“Seperti yang boleh kita jangkakan, MalaysiaKini hanya membisu, melepaskan tangan dan menebalkan muka sahaja selepas melaporkan berita yang salah tersebut,” katanya memetik kenyataan medianya baru-baru ini.

Tindakan Mohamed Khaled itu adalah berkenaan laporan berita yang mendakwa Perlembagaan UMNO akan dipinda, yang boleh membawa kepada penyingkiran pemimpin di dalam parti.

Pemimpin yang dimaksuhkan itu adalah Datuk Seri Najib Razak dan presiden semasa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Tidak ada sebarang cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa tersebut.

“Tidak ada. Malah, MalaysiaKini sehingga ke saat ini gagal mengemukakan sumber serta penjelasan dari manakah mereka mendapat maklumat yang salah dan berniat jahat seperti itu,” katanya.

Malah bekas menteri besar Johor itu turut mengingatkan penyokong UMNO terutama pemimpin agar berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai parti khususnya mengenai Perlembagaan.

Dibimbangi ianya akan menganggu perjalanan UMNO untuk bangkit semula daripada kekalahan pada pilihan raya umum lalu, tegasnya.

“Adalah tidak sihat untuk sesetengah pihak, sama ada di dalam atau luar UMNO, khususnya mereka yang mempunyai jawatan untuk terus menyebarkan cerita dan kenyataan yang tidak tepat berhubung proses pindaan Perlembagaan UMNO ini.

“Ia sangat tidak matang, berniat jahat dan hanya akan membantutkan proses pemulihan UMNO menjadi parti yang lebih kuat dan diyakini,” ujarnya.

Sebelum ini, Malaysiakini menerusi laporannya menyebut bekas menteri besar Negeri Sembilan itu adalah dalang untuk menyingkirkan Najib dan Zahid.

Malah laporan itu juga menyebut Mohamed Khaled turut terbabit dengan tindakan untuk menyingkirkan kedua-dua pemimpin berkenaan. – NTHQiBord, 20 Jun, 2019.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.