PERANG dalaman PKR kini memasuki fasa baharu.

Kali ini giliran ‘askar-askar’ bawahan pula dikerah untuk menyerang antara satu sama lain.

Semalam, Nazree Yunos menyuarakan sokongan penuh kepada Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Azmin Ali dan menggesa agar pucuk pimpinan memecat Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Nazree adalah Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia.

Haziq kini digantung tugas sebagai setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin selepas mencetuskan kontroversi kerana mengaku melakukan hubungan homoseks dengan Azmin.

Namun kenyataan Nasree dinafikan Setiausaha AMK Malaysia, Ahmad Syukri Che Ab Razab yang menyifatkan pandangan beliau itu sebagai peribadi.

Ahmad Syukri sebaliknya menyokong keputusan Biro Politik berhubung isu penularan video seks luar tabii yang dikaitkan dengan Haziq dan Azmin.

Perkembangan dalam AMK itu menunjukkan perbezaan pendapat tentang isu video homoseks yang setakat ini sudah memecahbelahkan pendirian pucuk pimpinan parti.

Sejak beberapa hari lalu, kem Anwar dan Azmin saling berbalas serangan untuk membela ‘jeneral’ masing-masing.

Zuraida Kamaruddin dan Khalid Jaafar antara pemimpin PKR yang bersuara menyebelahi Azmin manakala di pihak Anwar, serangan dilancarkan oleh Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Datuk Johari Abdul. – 20 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.