PENDAKWAH terkemuka, Dr Zakir Naik bakal dikenakan waran tangkap jika gagal hadir ke mahkamah di India pada 31 Julai depan.

Mahkamah Pencegahan Pengubahan Wang Haram (PMLA) memberi amaran itu selepas satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Zakir Naik membabitkan agensi pemeriksaan kewangan kerajaan India (ED).

ED sebelum ini mendakwa Dr Zakir Naik terlibat dalam pengubahan wang haram di India bernilai INR193 crore (RM115 juta).

Isnin lalu, Kerajaan Malaysia mengumumkan akan mengadakan perbincangan terperinci di dalam Kabinet berhubung proses menghantar pulang pendakwah itu sekiranya menerima permohonan secara rasmi daripada Kerajaan India.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata langkah-langkah sewajarnya akan diambil berhubung proses mengekstradisi pendakwah itu kerana ia membabitkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan India.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas New Delhi dilihat begitu terdesak untuk menahan Dr Zakir Naik atas tuduhan pengubahan wang haram di India. – 20 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.