DATUK Seri Azmin Ali sepatutnya menyaman Haziq Aziz berkenaan pengakuannya bahawa menteri tersebut adalah pasangannya dalam rakaman seks luar tabii yang tular awal bulan lalu, kata penganalisis politik.

Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tindakan itu patut diambil oleh Azmin untuk membersihkan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

“Kenapa Azmin tidak saman sahaja Haziq yang kaitkan namanya dengan video lucah melibatkan mereka berdua?” katanya.

Menurut Kamarul reaksi bekas menteri besar Selangor itu yang hanya menafikan dia terlibat di dalam video itu adalah respon yang tidak kukuh.

Malah sepatutnya Azmin menyaman Haziq sebaik sahaja Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu, mengaitkan video itu dengan dirinya, jelas Kamarul.

Sikap Azmin yang hanya mendiamkan diri tidak memberi sebarang makna kerana masyarakat khususnya ahli parti PKR sudah tentu masih bercakap mengenai isu ini.

“Tindakan berdiam diri dan serah kepada siasatan polis menunjukkan beliau seperti bersalah.

“Sudah dua minggu isu ini bermain di kalangan ahli-ahli PKR, dia kena bertindak pantas.

“Nama dia sudah terpalit dengan tuduhan seks sejenis, takkan nak tunggu lagi. Ini tuduhan berat,” kata Kamarul.

Sebelum itu, beberapa pemimpin PKR termasuk Asrul Nizan Abd Jalil ada mengeluarkan kenyataan bahawa menteri kanan itu perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Haziq Aziz.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena itu berkata melalui itu barulah rakyat merasakan Azmin bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang mencemarkan reputasinya.

Perkara itu patut  dilakukan walaupun ianya turut membabitkan dalam kalangan pemimpin dalam PKR sendiri, kata Asrul.

“Azmin perlu saman Haziq kalau dia bukan pelaku dalam video itu. Saman bagi cepat selesai isu ini.

“Kalau boleh kita tidak mahu isu ini (video seks) berlarutan sehingga agenda sebenar untuk baiki kos sara hidup dan pacu ekonomi negara ke arah lebih baik demi kepentingan rakyat terjejas.,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.