PERDANA Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad telah beberapa kali mengingatkan kakitangan kerajaan supaya tidak mengambil rasuah sejak mengetuai kerajaan DAP-PH.

Pada 30 April lalu, Mahathir ketika berucap dalam suatu perjumpaan dengan pegawai-pegawai kerajaan peringkat pengurusan dan profesional mengingatkan supaya menolak rasuah.

Beliau turut meminta semua jentera kerajaan menolak rasuah dengan jangan mengambil walaupun ‘satu sen’ atau ‘hadiah-hadiah’ seperti membeli rumah pada harga murah.

Pada 10 Jun lalu, Mahathir sekali lagi mengingatkan kakitangan kerajaan memahan diri daripada rasuah.

Mahathir berpesan, penjawat awam perlu menahan diri daripada berasa tamak sehingga melakukan rasuah, sabar supaya tidak cepat marah apabila berurusan dengan rakyat dan melaksanakan tugas dengan sepenuh hati kerana ia satu amanah.

Teguran itu mempunyai signifikannya tersendiri, menurut Jais Abdul Karim, Presiden, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia atau “Malaysia Corruption Watch” (MCW).

Menurut Jais, teguran Mahathir khususnya kepada kakitangan kerana disebabkan banyak dakwaan kes rasuah membabitkan golongan tersebut, berbanding sektor swasta.

“Persoalannya, kenapakah selalunya kakitangan kerajaanlah yang didakwa atas kes rasuah. Kenapa selalunya penerima yang ditangkap, kenapa pemberi tidak ditangkap? Persoalan inilah yang sering ditanya kepada saya,” kata Jais ketika diwawancara dalam rancangan bual bicara di Nothing To Hide, baru-baru ini.

Menurut beliau, pemberi rasuah tidak ditangkap kerana selalunya merekalah yang melaporkan kes rasuah. Dalam undang-undang di Malaysia, pelapor tidak akan didakwa, malah akan menjadi saksi pendakwaan.

Oleh sebab itu penjawat awam selaku penerima sering didakwa kes rasuah.

Pemberi rasuah pula biasanya mereka sudah tidak tahan lagi kerana terpaksa memberi dan terus memberi dengan nilai yang makin lama makin meningkat menyebabkan mereka akhirnya membuat laporan.

Penjawat awam yang menerima rasuah terutamanya dalam agensi penguatkuasaan mengalami masalah kerana gaji mereka tidak setara dengan peningkatan kos sara hidup.

Oleh itu, baru-baru ini ada cadangan supaya gaji penjawat awam khususnya yang berkaitan agensi penguatkuasaan dinaikkan.

Selain itu, Jais berpendapat selain gaji, program keagamaan perlu dibuat supaya mana-mana yang telah ditangkap boleh bertaubat.

Beliau juga mengingatkan kepada mereka yang masih melakukan rasuah dan belum tertangkap agar berhenti melakukannya.

Jika ada yang mengatakan bahawa ada juga yang dilihat alim tetapi melakukan rasuah, beliau mengatakan orang itu sebenarnya munafik.

“Hanya mereka yang betul-betul kuat pegangan agamanya tidak akan melakukan rasuah,” katanya.– NTHQiBord, 21 Jun 2019.

1 COMMENT

  1. Sepatutnya orang yang memberi rasuah dikenakan hukuman yang lebih berat berbanding dengan yang menerima atau meminta. Barulah gejala ini dapat dibenteras. Tangan yang diatas lebih baik dari tangan dibawah bagi yang bersedekah. Tapi bagi rasuah tangan yang diatas adalah lebih keji dan hukuman yang lebih berat patut dikenakan kepada pemberi rasuah

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.