PILIHAN Raya semula Majlis Perbandaran Istanbul akan berlangsung pada 23 Jun ini selepas kemenangan parti CHP sebelum ini dibatalkan.

Walaupun Parti AK (AKP) menang majoriti undi di seluruh negara dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran 31 Mac lalu, namun tewas mengejut di beberapa bandar besar seperti Istanbul, Ankara dan Izmir.

Perkembangan tersebut menarik perhatian tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa.

Muhammad Ismi Mat Taib, Setiausaha Lajnah Antarabangsa PAS Pusat mengiringi Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke Turki untuk meninjau sendiri perkembangan di sana.

Dalam kunjungan tersebut, antara dapatan yang diperoleh ialah antara punca perubahan sokongan rakyat ialah;

1.Politik nepotisme yang diamalkan Erdogan. Hal ini amat ketara dan jelas tatkala Erdogan melantik menantunya Berat Albayrak yang baru berusia 41 tahun menjadi Menteri Kewangan dalam kabinet beliau.

2.Penggubalan perlembangan yang mengubah bentuk pemerintahan Turki dan memberikan kuasa yang lebih kepada Presiden Erdogan sangat tidak disenangi sesetengah pihak.

3.Erdogan juga dikatakan kurang serius melaksanakan Islam, yang menimbulkan kemarahan kalangan rakyat yang mengambil berat agama.

4.Negara itu bergelut dengan krisis ekonomi, pengangguran dan kadar inflasi dua angka. Walaupun Erdogan dikagumi keberanian beliau mengemudi aspek ekonomi, tetapi beberapa hari sebelum pengundian, mata wang Lira Turki menjunam lagi, sekali gus membawa igauan buruk ketika krisis mata wang tahun lalu yang menjejaskan sebahagian besar isi rumah negara.

Kemenangan di Istanbul amat penting dalam politik Turki. Hal ini kerana kebiasannya pemimpin yang memenangi Pilihan Raya Majlis Perbandaran Istanbul bakal menaiki takhta Presiden Turki melalui Pilihan Raya Presiden Turki yang bakal berlaku nanti.

Namun, menurut Muhammad Ismi, yang menjadi kebimbangan gerakan Islam antarabangsa ialah parti CHP, iaitu Parti sekular yang memperjuangkan pemikiran Ataturk juga parti yang disokong oleh pengikut Gulen yang disyaki menjadi dalang kepada rampasan kuasa yang lalu.

Ramai yang menjangkakan Ekrem Imamoglu dari parti CHP bakal memenangi pilihan raya semula Perbandaran Istanbul. Jika melihat awlawiyyat seharusnya rakyat Turki terus kekal bersama Erdogan dan AK Parti memandangkan Parti Rakyat Republikan (CHP) yang menjadi pesaing AKP lebih bahaya dan lebih bermudharat.

Keadaan lebih merunsingkan apabila rakan-rakan seperjuangan dan sahabat karib Erdogan tidak lagi bersama beliau iaitu Abdullah Gul mantan Presiden Turki, Davud Oglu mantan Perdana Menteri Turki dan lain-lainnya yang juga mempunyai penyokong yang ramai. Mereka ini dijangkakan bakal menubuh parti baru yang menjadi pesaing Erdogan.

Muhammad Ismi mahu rakyat Turki membuat pemilihan yang terbaik dalam pilihan raya semula 23 Jun ini, mengambil kira keuntungan jangka panjang bagi Islam dan umatnya, melihat kepada awlawiyyat serta ma’alat.

Berdasarkan pengalaman di Malaysia dalam PRU14 lalu, rakyat Turki digesa tidak tertipu dengan serangan persepsi oleh golongan yang mahu melemahkan kuasa politik Islam. – 17 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.