TINDAKAN SPRM memulakan prosiding lucuthak dan menuntut kembali sejumlah wang yang didakwa dari 1MDB bukanlah suatu yang mengejutkan.

SPRM mengeluarkan senarai panjang pihak yang terlibat dalam lucuthak tersebut. Yang pasti tiada satupun terkait dengan PAS ada dalam senarai itu.

Tindakan SPRM itu dari suatu sudut, melegakan PAS kerana sekurang-kurangnya, fitnah itu terjawab dengan sendiri. Sebelum inipun, Datuk Mohd Shukri Abdull ketika masih menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM turut mengesahkan bahawa PAS tidak menerima wang seperti yang didakwa itu.

Dalam perkembangan lain, Anuar Shaari, bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat lucuthak tersebut mempunyai kesan dan tujuan yang pelbagai.

Antara kesan segera, menurut beliau ialah segala wang yang ada dalam akaun berkaitan UMNO tidak dapat dimanfaatkan.

Namun, persoalan pokok dalam isu ini, mengapa PAS yang disebut-sebut menerima RM90 juta dari UMNO (wang 1MDB), tiada dalam senarai SPRM? Perkara ini menarik perhatian banyak pihak.

Ini berlaku pada saat kerjasama UMNO-PAS menuju puncak dengan penerimaan kerjasama ini di Muktamar Agung PAS.

Apakah ada tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan ini yang cuba memecah-belahkan proses kerjasama UMNO-PAS? Jika ada, tentunya pihak yang paling terkesan dari kerjasama ini ialah Pakatan Harapan, ujar Anuar.

Menurut Anuar lagi, PPBM tentunya akan terkesan kerana selama setahun lebih selepas PRU ke-14, dilihat gagal membela membela nasib Melayu dan Islam di bumi sendiri. PKR apatah lagi, dengan idea-idea liberal dalam isu Islam dan Melayu.

“DAP memang jauh sekali mahu membela nasib umat Melayu Islam di negara ini. Bahkan DAP dilihat sangat anti Melayu-Islam kerana sering mempertikaikan hak-hak Melayu-Islam di dalam negara.”

“Parti AMANAH pula dilihat tidak lebih dari parti pengampu DAP dan PPBM. Lebih teruk lagi, AMANAH dilihat menjadi ‘alat DAP’ dalam menjahanamkan dasar-dasar afirmatif yang melindungi hak-hak orang Melayu-Islam-Bumiputera di dalam negara.”

“Oleh itu, umum melihat kerjasama UMNO-PAS adalah pilihan terbaik PRU akan datang untuk mengembalikan kuasa Melayu-Islam-Bumiputera,” ulas Anuar dalam blog beliau.

Tentunya kerjasama ini adalah ancaman terbesar buat kerajaan DAP-PH untuk terus berkuasa selepas PRU ke-15 nanti. Maka itu, kerjasama UMNO-PAS perlu dihalang dengan apa cara sekalipun.

Bak kata pepatah Melayu, tidak dapat tanduk telinga dipulas. Cara yang paling tuntas ialah mencipta pelbagai isu kontroversi bagi mengikis kepercayaan dalam kalangan ahli UMNO atau PAS.

Sebelum ini, DAP-PH Berjaya melemahkan PAS melalui fitnah RM90 juta. Walaupun sehingga kini gagal dibuktikan, tetapi isu ini masih berkesan dan dicanang khususnya kepada kelompok masyarakat bukan Melayu.

Dalam hal ini, tentunya kerajaan DAP-PH sedar melalui UMNO, mereka melihat ruang yang besar untuk ditumpukan segala serangan berbanding PAS. Maka mereka pastinya tidak akan melepaskan peluang ini.

Dalam menghadapi isu ini, Anuar menasihatkan ahli UMNO dan PAS perlu kekal fokus dengan gerak kerja perpaduan serta tidak hilang fokus. Isu lucuthak sengaja dicipta bagi menimbulkan prejudis antara ahli UMNO dan PAS. Jangan nanti ada yang bertanya “kenapa aku kena dan engkau tidak?”

Menurut Anuar, cabaran kerjasama UMNO-PAS adalah untuk memahamkan ahli dan jentera pilihan raya. Cabaran ini berjaya dipecahkan dengan semangat ukhuwah antara ahli serta kunjung-mengunjung dalam suasana lebaran ini.

Malahan ada jentera UMNO dan PAS menganjurkan majlis rumah terbuka secara bersama, sesuatu yang tidak pernah berlaku zaman dahulu. Gerak kerja peringkat ini adalah kunci kejayaan kerjasama UMNO-PAS.

Bagi Anuar, tidak ada cara lain melainkan ahli-ahli kedua parti ini istiqamahlah dengan kerjasama ini. Abaikanlah isu-isu busuk yang dicipta bagi menghancurkan kerjasama murni ini.

Bulat air kerana pembetung, bulat masyarakat kerana muafakat. – 22 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.