LATHEEFA Koya menafikan ciapan di Twitter yang menggunakan namanya, meminta agar jemaah haji memulangkan kembali wang yang ditaja oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dijawab oleh ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas diminta oleh Datuk Fathul Bari.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menerusi laman Twitternya meminta agar Latheefa menjawab berkenaan cicipan berkenaan, sama ianya palsu ataui tidak.

Latheefa kemudiannya pada Ahad menjawab perkara itu, sambil menegaskan ianya adalah hantaran palsu.

“Ini adalah palsu!,” tulisnya ringkas.

Fathul turut memaklumkan bahawa dia sudah menyemak akaun Twitter milik Latheefa, namun cicipan itu tidak ada.

Sebelum itu kenyataan palsu yang tersebar itu turut mengarahkan para jemaah haji untuk memulangkan semula wang berkenaan dalam tempoh 30 hari atau akan berdepan tindakan sekiranya perkara itu tidak dilaksanakan mereka.

Perkara ini adalah susulan arahan daripada SPRM yang membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, pada jumaat lalu.

Latheefa pada sidang media berkenaan berkata permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.

“Kita telah mengenal pasti 41 sama ada individu atau entiti yang telah dijadikan responden dalam permohonan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bermula pada 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

“Sebanyak 41 responden yang disenaraikan termasuklah daripada pihak-pihak berkaitan parti UMNO yang melibatkan nilai RM212 juta dan selebihnya adalah yayasan-yayasan, syarikat-syarikat dan sebagainya,” katanya.

Namun pada sidang media berkenaan, SPRM tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung meminta kembali wang 1MDB daripada jemaah yang mengerjakan haji sekitar 2011 sehingga 2018.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.