DATUK Salahudin Ayub menerima surat daripada Jemaah Majlis Diraja Johor.

Surat itu bertujuan supaya memberi peringatan kepada menteri pertanian dan industri asas tani berkenaan agar berhati-hati memilih pakaian dan jangan meniru cara pemakaian kerabat diraja negeri itu.

Yang Dipertua Jemaah Majlis Diraja Johor berkata sebagai anak jati negeri itu, sepatutnya Salahuddin mengambil berat berkenaan perkara ini.

“Adalah saya dengan hormatnya melampirkan bersama ini sesalinan Percanangan Dalam Bil: 2/2019 bertarikh 2 Jun 2019 berkenaan peraturan pakaian Johor.

“Jumaah Majlis Diraja berharap Yang Berhormat Dato’ sebagai anak Johor, mengambil perhatian kepada peraturan tersebut, seterusnya memelihara dan memartabatkan budaya Johor,” kata Abdul Rahim.

Sumber terdekat dengan kementerian itu yang memaklumkan menerima surat berkenaan.

Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan Ahli Parlimen Pulai itu memakai baju Melayu dan berseluar hitam ketika bersama Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara.

Perkara itu turut mendapat perhatian daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memuat naik hantaran gambar Salahuddin itu di Instagram miliknya.

TMJ bertindak seolah-oleh mempertikai cara pemakaian pemimpin Amanah itu yang menyerupai pakaian yang melambangkan identiti keluarganya.

“Ini adalah pakaian tradisi keluarga diraja Johor. Identiti ini melambangkan keluarga Sultan Ibrahim dan kerabat damping.

“Keluarga yang memerintah. Darah keturunan sultan.

“Itu fasal kita boleh lihat tiada orang dalam kerajaan pakai seluar hitam kerana hanya keluarga diraja atau kerabat damping yang boleh pakai atau layak pakai seluar hitam,” memetik cicipan di Instagramnya itu. – 23 Jun, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.