PRESIDEN Parti Bumi Kenyalang (PBK) hari ini membidas Lim Guan Eng susulan tindakannya yang mengatakan Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Voon Lee Shan berkata negeri itu hanya akan mengalami keadaan tersebut sekiranya berada di bawah pentadbiran kerajaan DAP-Pakatan Harapan (PH).

“Sarawak akan bankrap jika ia diperintah oleh PH. Ini pandangan umum rakyat Sarawak.

“Bagi rakyat, Sarawak akan jatuh muflis jika PH menang dan menguasai Petra Jaya,” kata Voon.

Bekas ahli DAP itu berkata negeri itu berjaya mengumpulkan sebanyak RM30 bilion pendapatan negeri sejak beberapa tahun yang lalu.

Malah katanya lagi, kebanyakan hasil kekayaan negeri itu diambil oleh kerajaan persekutuan.

“Sekiranya PH mampu menguruskan ekonomi, maka kembalikan semua kepada Sabah dan Sarawak semua kekayaan laut, perairan atau wilayah laut, minyak dan gas.

“Marilah kita melihat sama ada Malaysia boleh bertahan atau tidak,” katanya memetik di Facebook rasminya.

Ucapan Lim Guan Eng itu mendapat pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak, khususnya daripada pemimpin negeri negeri itu dan rakyat.

Baru-baru ini Lim ketika menghadiri majlis makan malam anjuran DAP Sarawak di Kuching berkata, Sarawak mungkin muflis dalam tempoh tiga tahun.

Katanya dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan habis dalam tempoh tersebut.

Menurut Lim, Sarawak mungkin mengalami nasib seperti Kelantan, yang menyaksikan kerajaan negeri berkenaan tidak mampu membayar gaji kakitangannya kerana pentadbiran negeri yang lemah. – NTHQiBord, 23 Jun, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.