SEMALAM, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerima aduan daripada seorang bakal jemaah haji yang sedang mengikuti Kursus Haji Perdana.

Asyraf menyatakan bahawa pengadu tidak selesa kerana adanya pengedaran bahan-bahan propaganda Kerajaan Pakatan Harapan bersabit dengan Tabung Haji ketika kursus diadakan.

Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri Agama yang berucap dalam majlis tersebut menjadikannya medan propaganda politik untuk menghasut bakal-bakal jemaah supaya marah dengan kerajaan terdahulu dan pengurusan Tabung Haji yang lalu.

Ekoran itu, Asyraf menegur sikap Mujahid dan mendesak suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Hal Ehwal Kewangan Dan Pelaburan Tabung Haji.

Teguran sinis Asyraf itu dibuat dalam bentuk santai tetapi serius, daripada adinda kepada kekanda (merujuk kepada gaya bahasa warkah terbuka Mujahid kepada Nurul Izzah suatu ketika dahulu).

“Buat Kekandaku YB Dr Mujahid Yusof Rawa, Kursus Perdana Haji bukan medan propaganda politik untuk menghasut bakal-bakal jemaah supaya marah dengan Kerajaan terdahulu dan pengurusan Tabung Haji yang lalu.”

“Jika YB berada pada kedudukan yang benar dan tiada apa yang hendak disorokkan, saya sekali lagi mencabar untuk YB Menteri menggesa Kerajaan menubuhkan segera SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA MENGENAI HAL EHWAL KEWANGAN DAN PELABURAN TABUNG HAJI,” kata Asyraf dalam “Warkah Terbuka Buat Kekanda Yb Mujahid” hari ini.

Asyraf juga menyatakan biar rakyat mengetahui cerita sebenar. Daripada awal penubuhan sehinggalah hari ini tidak pernah dilaporkan Tabung Haji rugi, bahkan bermula 2009, keuntungan bersih setelah ditolak cukai dan zakat, keuntungan TH mulai melangkaui angka lebih RM1 Billion. Tiba-tiba naik YB Menteri, TH dikatakan rugi, akaun ditipu dan macam-macam tuduhan dan dakwaan.

Jika benar akaun dimanipulasi, Jabatan Audit Negara adalah badan pertama perlu keluarkan kenyataan kerana selama ini merekalah yang mengaudit akaun dan laporan kewangan TH. Parlimen juga harus bertanggungjawab kerana dibentangkan dan diluluskan setiap tahun di Parlimen.

Sebab itulah Asyraf berpendapat tindakan terbaik ialah tubuhkan segera RCI sebagaimana janji Pakatan Harapan dalam manifesto mereka.

“Hentikanlah mempolitikkan Kursus Perdana Haji. Biarkan bakal-bakal jemaah memfokuskan kepada hal-hal berkaitan penyempurnaan ibadah Haji dan bukannya dipaksa mendengar ceramah politik Kekanda mengapi-apikan perbalahan dan prejudis. Kadang-kadang terdetik, siapa sebenarnya Pembangkang atau Kerajaan ini?” kata Asyraf lagi. – NTHQiBORD 24 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.