KENYATAAN Abdul Aziz Bahri baru-baru ini yang mengatakan pemansuhan sekolah vernakular adalah bertentangan dengan Perlembagaan adalah bermotifkan politik, kata bekas ketua pengarah Matrikulasi.

Sukor Beram berkata, sudah tentu pemimpin DAP itu akan menyuarakan isu-isu yang memberi pihak kepada prinsip parti yang dibawanya.

“Kalau kita tengok kenyataan Aziz ini sudah condong ke arah partinya..pandangannya itu dipengaruhi oleh pegangan parti yang dia wakili.

“Tetapi pandangan Aziz ini melihat dari segi konteks DAP seperti yang sedia ada sekarang ini,” katanya.

Tambah Sukor, sekiranya Aziz tidak mewakili parti politik nescaya dia tidak akan memberi kenyataan yang berpihak kepada mana-mana parti.

“Sebab sebelum dia masuk politik dahulu dia mungkin boleh memberi pendapat yang lebih seimbang kepada semua pandgan

“Tapi bila dia sudah melibatkan diri dalam politik ada timbul kecendurangan untuk mempertahankan apa yang dipercayainya…dan yang dipegang pada hari ini,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord, baru-baru ini.

Sementara itu, Sukor turut bersetuju untuk dilakukan kajian terlebih dahulu berkenaan sekolah vernakular ini berdasarkan kepada prinsip-prinsip Perlembagaan yang sedia ada.

Menurutnya lagi, sekiranya ada kekurangan dalam sekolah jenis kebangsaan ini adalah satu keperluan untuk dilakukan penambahbaikan agar ianya adalah selari dengan Perlembagaan persekutuan.

Namun sekiranya ada keperluan untuk dimansuhkan sekolah vernakular ini ianya adalah satu langkah terbaik, katanya.

“Sebab itu, dari segi pendidikan bila kita lihat balik Perlembagaan.. memang kita kena semak kembali akta pendidikan.

“Kena panggil semua orang penting di dalam bidang pendidikan ini untuk berbincang.

Menurutnya lagi, walaupun sekolah vernakular ini sudah wujud sejak 60 tahun yang lepas namun ianya belum tentu lagi memberi kebaikan kepada negara, khususnya kepada perpaduan.

“Kerana belum tentu yang kita sudah ada sekarang ini adalah yang betul untuk membangunkan kemajuan negara pada masa akan datang

“Kalau ada kelemahan kita perlu baiki , tapi kalau yang sedia ada jika sekiranya iaya tidak membawa kepada perpaduan nasional dan rakyat maka lebih kita semak semula.

“Kalau perlu dimansuh, kita mansuhkan sahaja,” katanya.

Aziz baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila berkata pemansuhan sekolah vernakular ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

Menurutnya lagi, sekolah jenis kebangsaan ini sudah wujud untuk tempoh 60 tahun, jadi tidak masuk akal untuk ianya dimansuhkan. – NTHQiBord, 24 Jun, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.