SUATU ketika dahulu, selepas PRU12 pada tahun 2008, Pakatan Rakyat menang di beberapa buah negeri termasuk Pulau Pinang yang dirampas DAP daripada Gerakan.

Subky Latif, wartawan veteran dan bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pernah mengingatkan orang Melayu ketika itu yang kelihatan teruja dengan kemenangan DAP.

Apatah lagi DAP ketika itu kononnya mahu meniru pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Subky menceritakan bahawa orang Melayu perlu mengambil iktibar daripada Singapura. Lee Kuan Yew ketika mahukan undi Melayu disifatkan ‘lebih Melayu daripada Melayu’. Lee sering berkain pelikat, bersongkok dan mampu membaca akhbar jawi.

Selepas memperoleh kuasa, ibarat habis madu sepah dibuang. Begitulah nasib Melayu Singapura hari ini.

Ingatan yang sama dilakukan oleh Roslan Shahir Mohd Shahir, Timbalan Pengerusi III Lajnah Penerangan PAS Pusat dalam perbahasannya dalam Muktamar PAS ke-65 di Kuantan Pahang baru-baru ini.

Malaysia bakal menjadi “Singapura kedua”? Bunyinya macam pelik tetapi tidak mustahil jika umat Islam, Melayu dan Bumiputera masih lena dibuai mimpi indah yang palsu.

Perbahasan beliau mendapat perhatian media dan DAP khususnya. Namun Roslan mempertahankan ucapan beliau itu.

“Apapun perbahasan saya lebih 12 minit itu bukannya cakap-cakap kosong tetapi memetik fakta termasuklah memetik ucapan mendiang Lee Kuan Yew dalam Dewan Rakyat 27 Mei 1965.”

“Gagasan politik ‘Malaysia Malaysia’ yang diperjuangkan Kuan Yew pengasas parti PAP tidak berakhir dengan pemisahan Singapura dari Malaysia 9 Ogos 1965 tetapi diwarisi dan disambung oleh DAP hingga ke hari ini.”

“Itu fakta dan bukan pembohongan atau fitnah,” kata Roslan dalam facebook beliau.

Menurut Roslan, di Singapura hari ini nasib umat Melayu sangat berbeza dengan nasib saudaranya di Malaysia. Amalan meritokrasi kerajaan PAP terus melemahkan orang-orang Melayu serba-serbi.

Inilah yang mahu DAP bawa. Tiada hak keistimewaan ikut kaum atau bangsa semua warga Malaysia setaraf. Perjuangan ini menafikan sejarah dan kontrak sosial yang diperakui generasi terdahulu.

Beliau menekankan bahawa bumi Tanah Melayu ini ratusan tahun milik asal orang-orang Melayu. Ia satu tamadun dan peradaban besar dengan budaya dan adatnya tersendiri. Islam anutan bumi ini, Raja-raja Melayu tunggak kuasa, bahasa Melayu bahasa pengantara.

Roslan turut menekankan bahawa demi membolehkan negara ini merdeka penjajah meletakkan syarat-syarat tertentu termasuk menerima kaum pendatang seperti Cina dan India sebagai warganegara.

Sebagai timbal balas, suatu kontrak sosial dipersetujui bersama termasuklah

Islam agama Persekutuan, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Konsep “Malaysian Malaysia” yang dimahukan DAP tidak mengiktiraf status quo ini.

“Saya tidak mereka-reka tetapi sekadar memberi peringatan buat semua jangan sampai Malaysia tanah air kita menerima nasib sebagai ‘Singapura kedua’,” tegas Roslan lagi yang juga Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Selangor.

Ingatan demi ingatan seumpama ini memang wajar demi mengingatkan umat Melayu bahawa mereka tidak boleh tertipu dengan lakonan DAP ini. – NTHQiBORD 24 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.