KENYATAAN Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa Sarawak akan bangkrap dalam tempoh tiga lagi, mendapat kritikan banyak pihak.

Yang terbaharu, Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri mempersoalkan kenyataan Lim tersebut, lapor FMT.

Menurut Nancy, kenyataan itu menunjukkan ketidakmampuan menteri kewangan terbabit memahami proses penyediaan belanjawan. Lim juga diselar kerana membuat perkiraan tanpa mengambil kira aktiviti ekonomi di negeri tersebut.

Katanya, Lim mungkin tidak tahu bahawa sebahagian besar wang untuk tujuan perbelanjaan negeri itu dijana daripada aktiviti ekonomi.

Bagi Nancy, Lim mungkin mempunyai niat lebih buruk untuk terus membohongi rakyat Sarawak supaya mereka tidak lagi menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) – gabungan parti politik yang kini memerintah negeri berkenaan.

Niat Lim itu terserlah kerana berkata kerajaan GPS wajar “ditamatkan” kerana kegagalannya memenuhi aspirasi Sarawak.

Lim merujuk keputusan ahli Parlimen GPS yang mengundi menolak rang undang-undang kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf Semenanjung Malaysia.

Terdahulu, Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan telah membidas kenyataan Lim bahawa Sarawak akan bangkrap.

Malah Voon yang juga bekas ahli DAP dengan beraninya berkata bahawa Sarawak hanya akan mengalami keadaan tersebut (bangkrap) sekiranya berada di bawah pentadbiran kerajaan DAP-Pakatan Harapan (PH).

Bagi Voon, Sarawak akan jatuh muflis jika PH menang dan menguasai Petra Jaya.

Kenyataan Lim dibuat dalam suatu majlis makan malam DAP Sarawak pada Jumaat lepas.

Menurut Nancy, andaian Lim itu jika setiap tahun RM11 bilion itu diambil daripada rizab negeri yang kini berjumlah RM30 bilion.

Dalam perkembangan lain, kenyataan ini tidak pelik kerana DAP kini sudah memberi perhatian berkempen di negari itu.  Hal ini kerana Sarawak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri dijangka pada pertengahan 2021.

Kerajaan DAP-PH dijangka akan menghadapi GPS yang dibentuk selepas parti-parti dalam komponen Barisan Nasional keluar lantas membentuk gabungan baru di Sarawak. – 24 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.