PAS dalam muktamarnya yang baharu sahaja berakhir semalam, telah menggariskan syarat-syarat asas yang boleh dijadikan panduan kepada semua kelompok Melayu dalam membentuk penyatuan ummah.

Malah Presiden PAS dengan jelas menyatakan bahawa pemimpin kepada penyatuan ummah itu tidak semestinya daripada UMNO mahupun PAS, malah boleh sahaja daripada pihak ketiga asalkan memenuhi syarat kelayakan.

Dalam hal ini, PAS telah memberikan isyarat yang jelas bahawa penyatuan ummah itu bukan sahaja untuk UMNO dan PAS malah semua entiti Melayu.

Semalam juga, dalam suatu sidang media Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menyokong sepenuhnya kerjasama yang diadakan antara UMNO dan PAS.

Namun, beliau berpendapat penyatuan ummah yang diwar-warkan itu mesti juga meliputi semua pihak secara inklusif, termasuk berbagai NGO Islam dan Melayu dan juga parti-parti politik.

Tanpa penyertaan parti Melayu dan NGO lain, penyatuan ummah itu tidak lengkap.

Ibrahim menjelaskan penyatuan ummah meliputi semua pihak secara inklusif sehingga diadakan satu kongres atau persidangan untuk menjayakan usaha murni tersebut.

Sebelum itu, beberapa ahli politik dan NGO menyuarakan pandangan yang sama.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah pernah menyatakan bahawa penyatuan ummah mestilah membabitkan semua parti politik berasaskan Islam, Melayu dan bumiputera serta badan bukan kerajaan.

Azwanddin menggesa agar semua pemimpin Melayu membuang ego masing-masing demi menjayakan penyatuan ummah ini.

Begitu juga bagi Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman dalam suatu kenyataannya sebelum ini. Beliau berpendapat UMNO dan PAS mesti menjadi penaung kepada semua parti politik Malayu dan NGO Melayu.

Jelas sekali, senario mutaakhir ini menunjukkan kebanyakan pemimpin Melayu mula senada dalam menggerakkan penyatuan ummah.

Gesaan daripada pelbagai pihak sama ada secara individu, mewakili parti mahupun pihak badan bukan kerajaan mula menunjukkan tanda-tanda positif.

Adalah diharapkan semua pemimpin Melayu termasuklah daripada parti yang berada dalam kerajaan khususnya Bersatu menyahut seruan perpaduan ini demi memastikan agenda DAP tidak kesampaian.

Malaysia perlu dibebaskan daripada politik tidak mengenang budi DAP yang kini menjadi bagai kaduk naik junjung. Malaysia perlu dipacu atas kontrak sosial yang dipersutujui bersama dengan menghormati hak istimewa orang Melayu bumiputera disamping menjamin hak agama dan bangsa lain. – NTHQiBORD 24 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.