KENYATAAN mana-mana pihak yang mahu mengekalkan kewujudan sekolah vernakular patut dihentikan dengan segera, kata Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata sejak tertubuhnya sekolah itu ianya tidak membantu kepada perpaduan kaum di negara ini.

Mohd Alif malah menegaskan bahawa kajian semula mengenai penubuhan sekolah jenis kebangsaan ini perlu dilaksanakan dengan segera.

“Kita sedia maklum bahawa sekolah adalah tempat bagi pelajar menyerap kepelbagaian.

“Dan hal ini sama sekali tidak menghalang pelajar mengamalkan bahasa dan budaya asal dengan syarat bukan dalam urusan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Alif lagi, penubuhan sekolah vernakular ini tidak disebut di dalam mana-mana frasa Perlembagaan persekutuan.

Oleh itu, adalah tidak wajar ianya ditubuhkan melainkan hanyalah bertentangan dengan undang-undang tertinggi negara itu, ulasnya.

“Ini kerana sekolah vernakular hanya diasaskan atas faktor sejarah dan tidak pernah berada dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Isu berkenaan pemansuhan sekolah vernakular ini kembali hangat sejak kebelakangan ini apabila wakil Dewan Muslimat Pas, Salamiah Md. Nor membangkitkan perkara ini.

Menurut Salamiah, Pakatan Harapan dahulu sewaktu menjadi pembangkang menyatakan tidak selesa dengan sistem tersebut.

Disebabkan itu, pemimpin PAS tersebut menggesa kerajaan untuk terus menghapuskan sekolah jenis kebangsaan.

“Maka, Dewan Muslimat Pas menyeru dan mengharapkan kerajaan PH mengambil tindakan supaya sistem pendidikan vernakular dihentikan.

“Kita melihat sistem ini tidak mendekatkan kepada jurang persefahaman antara kaum,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65. – NTHQiBord, 24 Jun, 2019.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.