GAGASAN Tiga (G3) mengambil pendirian untuk bersama, menyokong seruan PAS untuk menghapuskan sekolah vernakular dalam muktamar parti itu baru-baru ini.

Pendirian untuk menghapuskan SJKC dan SJKT itu di ambil atas asas seperti berikut :

1. SJKC, SJKT tidak sejajar dengan roh dan semangat Perlembagaan Persekutuan yang tidak mahu rakyat Malaysia berbilang bangsa secara terus-menerus sejak lebih 60 tahun yang lalu diasingkan mengikut kaum terutama dalam soal pendidikan dan pembinaan jati diri.

Semangat Perlembagaan Persekutuan mahu rakyat Malaysia terus hidup bersatu-padu dalam semua hal dari pengagihan kuasa politik hingga kepada kehidupan harian di sekolah-sekolah sejajar dengan 5 prinsip Rukun Negara terutama kesopanan dan kesusilaan antara kaum-kaum di negara ini.

2. Sekolah vernakular juga tidak memupuk perpaduan antara kaum dan tidak menyemai semangat tolak-ansur seperti mana yang termaktub dalam Rukun Negara.

Ini terbukti benar apabila ramai di kalangan bangsa DAP yang berpendidikan awal di SJKC dan SJKT tidak memahami apatah lagi mengenali adat resam pelbagai kaum di negara ini terutama Melayu sehingga pimpinan mereka sering mengeluarkan kenyataan dan arahan yang tidak langsung menjaga sensitiviti orang Melayu sampai menuduh Melayu sebagai pendatang.

Ia juga sejajar dengan pengalaman saya bersama DAP sebelum ini yang terkejut apabila masih ada ahli DAP yang tidak mengenali lagenda seni hiburan negara atau ratu jazz bernama Sheila Majid kerana sejak kecil lagi menerima pendidikan di SJKC peringkat rendah dan menengah sebelum melanjutkan pengajian di Taiwan dan apabila pulang dari luar negara, bekerja pula dengan DAP yang menggalakkannya menjadi rasis lagi cauvinis.

3. Penghapusan sekolah vernakular akan menggalakkan pembinaan bangsa Malaysia yang sebenar dengan agihan peruntukan persekolahan yang lebih adil untuk semua kaum dan ianya bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Sejak 9 Mei yang lalu, apabila bangsa DAP berkuasa di Putrajaya, kita dikejutkan dengan peruntukan yang tidak adil untuk sekolah kebangsaan dengan pada masa yang sama, dihidangkan dengan berita dan cerita pemberian sumbangan ratusan ribu hingga jutaan oleh menteri kewayangan DAP kepada SJKC.

Justeru, tindakan DAP dan beberapa parti perkauman lain yang menjadi seperti ‘cacing kepanasan’ apabila wakil Dewan Muslimat PAS menyeru Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menamatkan sistem pendidikan vernakular menunjukkan sikap hipokrit mereka dalam perjuangan ke arah mewujudkan bangsa Malaysia.

Janganlah berpolitik hanya untuk mendapatkan undi semata-mata kerana tanggungjawab lebih besar sebagai ahli politik ialah pembinaan negara ke arah perpaduan kaum yang lebih utuh dan bersatu-padu dalam apa jua perkara demi Malaysia tercinta. – 25 Jun 2019.

AMRAN AHMAD NOR,
Timbalan Pengerusi G3,
Bekas pegawai khas ketua menteri @ tokong LGE.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.