YANG terbaharu isu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang mahu ke London tetapi gagal sampai ke destinasi kerana pesawat lewat berlepas.

Kejadian itu berlaku pada 15 Jun lalu. Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu dikatakan sepatutnya ada temu janji dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad di London pada pagi 16 Jun keesokkannya.

Namun disebabkan pesawat MAS yang dinaikinya tertangguh lebih kurang dua jam 30 minit, Mat Sabu terlepas temu janji dengan Tun Mahathir.

Ekoran itu, pejabat Menteri Pertahanan telah mengeluarkan suatu surat rasmi pada 24 Jun menegur pihak MAS agar tidak mengulanginya.

Pelbagai persoalan berlegar berkenaan surat yang tular dalam media maya itu.

Yang pertama, surat tersebut menggunakan kepala surat kementerian pertahanan dan isu tersebut bukanlah isu yang besar dan penting.

Keduanya, surat tersebut dikeluarkan 10 hari daripada tarikh kejadian berlaku. Mungkin juga surat itu dikeluarkan selepas Mat Sabu telah kembali ke Malaysia.

Ketiganya, penangguhan jadual penerbangan bukanlah perkara pelik. Hal ini berlaku di mana-mana lapangan terbang dan syarikat penerbangan disebabkan masalah teknikal, cuaca dan lain-lain.

Sepatutnya, Mat Sabu merancang perjalanan sebaik-baiknya jika ada membuat temu janji yang penting.

Keempatnya, mungkinkah temu janji itu begitu penting kepada pertahanan negara sehingga terpaksa di luar negara dan akhirnya MAS dipersalahkan.

Isu ini mendapat perhatian netizen sehingga ada yang menganggap Mat Sabu sebagai antara Menteri PH yang menghiburkan.

Ada yang mengatakan bahawa Malaysia boleh rampas takhta Norway sebagai negara yang paling gembira di dunia.

Tidak kurang ada warga netizen juga yang menyalahkan pegawai yang menguruskan jadual kerja dan penerbangan Mat Sabu.

Ada juga yang mempertahankan MAS bahawa keselamatan keseluruhan penumpang lebih diutamakan. Penangguhan perlu dilakukan jika membabitkan soal keselamatan sama ada berkaitan pesawat atau cuaca.

Bahkan, Datuk Seri Najib turut mengambil peluang ‘bergurau’ dengan bertanya bertanyakan soalan sindiran kepada Mat Sabu.

“Dia nak siasat deep inside mother dan father (siasat secara mendalam ibu dan bapa) juruterbang penerbangan MAS yang lewat 2 jam tak?,” gurau Najib dalam Facebook beliau.

Perkara sama telah mendapat teguran Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Asri mencadangkan bahawa menteri atau pegawai-pegawai baru menteri yang tidak cukup pengetahuan atau pengalaman mengenai urustadbir diberikan kursus induksi.

Bagi beliau hal ini penting supaya tidak bertindak secara yang sangat tidak profesional.

Umpamanya, kepala surat (letterhead) kerajaan atau kementerian tidak wajar digunakan untuk urusan-urusan yang selekeh. Ia akan mendedahkan banyak kedangkalan lain dan cara yang tidak matang. – 25 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.