Naib Presiden UMNO. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

HASRAT kerajaan untuk melaksanakan semula Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah disifatkan sebagai langkah terbelakang, kata Naib Presiden UMNO.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Pakatan Harapan (PH) ketika ini sering kali membangkitkan perihal yang disifatkan sebagai tiada keperluan untuk diubahsuai.

“Sampai bila kita harus terus menerus membahaskan betapa tidak produktifnya negara ini jika kerajaan hanya berminat untuk ‘membawa pulang’ segala apa yang pernah dibuat suatu ketika dahulu.

“Kita tidak boleh terus menerus membazirkan masa untuk menjadikan ‘zaman sekarang’ sebagai ‘zaman dahulu’ semula.

“Sudah terlalu banyak masa kita bazirkan untuk bercakap tentang baik dan buruk mengulang-ulang dasar sebelum zaman lepas dalam konteks semasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu lagi, PH seakan-akan mahu merendahkan standard bahasa kebangsaan dengan tindakan mengembalikan semula PPSMI.

Menurut beliau, kerajaan sedia ada kelihatan tidak serius memperjuangkan atau memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Perkara ini secara jelas ditunjukkan mereka kerana mereka ketika ini membangkitkan semua berkenaan isu PPSMI, tegasnya.

“Setelah lebih enam dekad kita merdeka, ramai sekali pemimpin kita yang tidak ada keyakinan langsung bahawa Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu.

“Saya kira jika dasar ini dilaksanakan kembali, ia bukan sahaja menunjukkan kegagalan kerajaan untuk tampil dengan dasar yang segar dan baharu.

“Malah merupakan langkah mundur ke belakang dalam pembangunan negara ini,” ulasnya.

Sementara itu, Khaled turut menyifatkan segelintir pemimpin yang berpendapat PPSMI dikembalikan adalah tidak mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Bahasa Melayu.

Tegasnya lagi, disebabkan itu sudah tentu di dalam jiwa mereka tidak mempunyai semangat patriotisme yang tinggi malah juga merasakan penggunaan bahasa kebangsaan ini tiada hala tuju yang sebenar.

“Mereka menganggap pula Bahasa Melayu sebagai bahasa mundur dan bukan medium yang sesuai untuk menjadi bangsa maju.

“Sebenarnya, hanya bangsa yang lemah akan memandang rendah dan tidak yakin dengan kemampuan bahasa ibundanya.

“Bangsa yang kuat, berani dan patriotik tidak akan sama sekali membelakangkan bahasa asalnya.

“Sebaliknya akan sentiasa mencari jalan untuk melonjakkannya,” katanya.

Baru-baru ini kerajaan dilapor membincangkan semula mengenai pelaksanaan semula PPSMI.

PPSMI mula dilaksanakan pada tahun 2003, namun ianya dimansuhkan kerajaan pada 2012. – NTHQiBord, 25 Jun, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.